BEKAS TENTERA PERKUKUH DISIPLIN MRSM

KUALA LUMPUR – Seramai 16 bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula melaporkan diri sebagai warden lelaki sepenuh masa di beberapa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih, sekali gus menandakan pelaksanaan fasa baharu inisiatif MARA bagi memperkukuh disiplin, keselamatan dan kebajikan pelajar asrama.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua warden memulakan tugas dengan menghadiri sesi taklimat, orientasi dan pengenalan yang dikendalikan pihak pengurusan serta pengetua MRSM bagi memahami struktur pentadbiran, peraturan dan tanggungjawab sebagai warden sepenuh masa.

Beliau berkata, seramai 16 lagi bekas anggota tentera wanita dijangka memulakan tugas minggu hadapan selepas proses temu duga dan tapisan akhir diselesaikan. Setiap MRSM yang terlibat akan ditempatkan empat warden sepenuh masa, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu merupakan kesinambungan projek rintis yang dilaksanakan sebelum ini dan kini diperluaskan ke beberapa MRSM termasuk Besut, Balik Pulau, Muadzam Shah, Sultan Azlan Shah, Serting, Kubang Pasu, Jeli, Parit, Kuala Berang dan Muar.

Asyraf berkata, pemilihan calon dibuat secara menyeluruh dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp dan Seksyen Psikologi serta Kaunseling ATM. Calon bukan sahaja melalui temu duga, malah menjalani ujian psikometrik, penilaian psikologi, saringan kesihatan mental, pemeriksaan kecergasan fizikal, semakan rekod jenayah serta semakan daftar pesalah seksual kanak-kanak.

Katanya, hanya calon yang memenuhi syarat integriti, mempunyai rekod perkhidmatan bersih serta melepasi semua tapisan akan dilantik bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.

Beliau berkata, program berkenaan akan diperluaskan secara berperingkat ke semua 58 MRSM di seluruh negara bermula 1 Januari 2027 sebagai usaha membentuk persekitaran asrama yang lebih selamat, berdisiplin dan bebas daripada gejala buli.

“Inisiatif ini diharap mampu meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pengurusan asrama MRSM, selain memastikan institusi pendidikan berasrama itu terus melahirkan pelajar cemerlang dalam suasana yang kondusif dan selamat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *