KOTA BHARU – Bayi perempuan berusia lima hari yang dikesan positif dadah jenis benzodiazepine (benzo) dipercayai mendapat kesan bahan berkenaan susulan pengambilan ubat bagi merawat masalah keresahan atau anxiety oleh ibunya ketika mengandung.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil saringan air kencing terhadap wanita terbabit mendapati dia positif benzo, namun tidak menunjukkan kehadiran dadah jenis syabu atau methamphetamine.
“Wanita berkenaan memberikan alasan bahawa ubat itu diambil bagi merawat masalah anxiety yang dialaminya ketika mengandung.
“Jadi, kesan daripada ubat anxiety itulah katanya menyebabkan ujian urin keluar benzo. Bukannya syabu atau methamphetamine, tidak ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Aktiviti Riadah Bermotosikal dan Sumbangan Kebajikan PDRM bersama Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) sempena Sambutan Hari Polis Ke-219 serta Program Flag Off sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026, di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata, polis setakat ini tidak menahan wanita berkenaan berdasarkan keputusan saringan air kencing yang diperoleh.
Menurutnya, ujian pusingan kedua terhadap bayi berkenaan juga masih dijalankan bagi mengesahkan keputusan awal yang menunjukkan bayi itu positif dua jenis dadah.
“Siasatan ketika ini masih berdasarkan keputusan ujian urin sementara menunggu keputusan lanjut daripada ujian pusingan kedua terhadap bayi berkenaan,” katanya.
Pada 16 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sedang memantau keadaan bayi berkenaan termasuk perkembangan kesihatannya sepanjang menerima rawatan.
Bayi itu sebelum ini dilaporkan mengejutkan petugas hospital selepas disahkan positif dua bahan, iaitu amphetamine dan benzodiazepine, selepas dilahirkan.
