KOTA BHARU – Menjaga amalan, hubungan sesama insan, akhlak dan tutur kata menjadi antara kunci utama yang membantu pelajar menghafaz al-Quran dengan lebih mudah, selain sokongan serta doa restu ibu bapa dan guru.
Perkara itu dikongsikan penerima Anugerah Tokoh Hafiz dan Hafizah Terbaik Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) ke-16 Tahun 2025, Muhammad Iqbal Danial Nasir, 19, dan Nur Fatin Hanani Hafizi, 18, yang masing-masing berjaya melengkapkan hafazan 30 juzuk.
Muhammad Iqbal yang berasal dari Gua Musang berkata, menjaga amalan harian dan mengelakkan perbuatan yang boleh menjejaskan hati menjadi antara perkara yang diamalkannya sepanjang proses menghafaz al-Quran.
Katanya, memperbanyakkan selawat serta menjaga pemakanan, termasuk mengurangkan pengambilan makanan segera, turut membantunya memberi tumpuan terhadap hafazan.
“Saya bukanlah insan yang suci daripada dosa tetapi seboleh mungkin cuba mengelak daripada melakukan sekecil-kecil dosa. Bagi saya, ia antara kunci untuk memudahkan hafazan selain menjaga pemakanan.
“Saya juga mendapati amalan berselawat banyak membantu kerana proses menghafaz menjadi lebih mudah apabila saya memperbanyakkan selawat,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di Tunjong, baru-baru ini.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat itu berkata, dia tidak mengetepikan aktiviti harian bersama rakan sepanjang menghafaz 30 juzuk al-Quran, sebaliknya mengurus masa dengan baik.
Katanya, waktu utama untuk menghafaz adalah sebelum solat Subuh sebelum mengulang bacaan dan memperdengarkannya kepada ustaz.
“Bagi saya, al-Quran adalah panduan utama dalam kehidupan dan membantu saya merapatkan hubungan dengan ibu bapa, guru serta rakan-rakan.
“Walaupun sudah menghafaz 30 juzuk, saya masih mahu mendalami dan memahami isi al-Quran dengan harapan menjadi insan yang fasih al-Quran,” katanya.
Sementara itu, Nur Fatin Hanani berkata, dia berjaya melengkapkan hafazan 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun, bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan empat.
Pelajar Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah itu berkata, disiplin memberi tumpuan sepenuhnya ketika berada di dalam kelas menjadi antara faktor yang membantunya mencapai sasaran tanpa perlu mengetepikan kehidupan sebagai seorang remaja.
“Dalam kelas saya tidak berbual kosong, sebaliknya memberikan sepenuh tumpuan kepada hafazan. Jika dua jam masa yang ada, dua jam itulah saya gunakan untuk menghafaz,” katanya.
Anak sulung daripada empat beradik itu turut menekankan kepentingan menjaga tutur kata kerana percakapan yang baik bukan sahaja mencerminkan akhlak, malah membantu membentuk disiplin diri sepanjang proses menghafaz.
“Paling utama ialah menjaga percakapan dan kata-kata. Saya bukan jenis pendiam, tetapi saya berusaha menahan diri daripada menuturkan kata-kata buruk kerana percaya ia boleh menjejaskan hafazan.
“Apabila jiwa benar-benar menginginkan sesuatu, kita akan berusaha mendisiplinkan diri dan menjaga amalan. Hafazan yang baik juga membantu meningkatkan pencapaian akademik,” katanya.
