PUTRAJAYA – Seramai 652 penjawat awam menerima ganjaran terkumpul berjumlah RM1.18 juta sejak 2012 hingga 2025 sebagai penghargaan atas keberanian menolak dan melaporkan cubaan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan jumlah penerima tertinggi iaitu seramai 437 orang.
Menurutnya, jumlah itu diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan 64 penerima, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) (33) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) (21).
“Antara kes berprofil tinggi ialah penolakan tawaran rasuah bernilai RM200,000 oleh seorang pegawai polis di Perlis susulan kes rampasan syabu seberat 1.8 tan, selain penolakan suapan RM45,000 di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Halim berkata, bagi penilaian 2026, seramai 54 calon baharu daripada empat agensi penguatkuasaan dikemukakan untuk penilaian SPRM.
Katanya, calon berkenaan terdiri daripada 38 anggota PDRM, 12 daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tiga daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang daripada JIM.
“Penilaian tahun ini membabitkan 30 kertas siasatan dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.
“Semua calon yang dinilai melepasi proses tapisan keutuhan SPRM dan semakan rekod jenayah polis bagi memastikan mereka memenuhi kelayakan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, daripada keseluruhan calon yang dinilai, 529 individu diperaku menerima ganjaran berserta sijil, manakala 123 individu diperaku menerima sijil penghargaan.
Menurutnya, pengiktirafan itu mencerminkan keberanian penjawat awam menolak rasuah serta membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan berkenaan dalam sektor awam.
