MEDIASAS PERKUKUH AKSES KESIHATAN MAMPU MILIK

KUALA LUMPUR – Kerajaan melancarkan inisiatif MediAsas sebagai langkah baharu memperkukuh reformasi pembiayaan kesihatan negara menerusi penyediaan pelan insurans dan takaful perubatan yang lebih mampu milik, dengan program rintis dijadual bermula pada penghujung Julai ini.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata, MediAsas diperkenalkan di bawah kerangka RESET bagi menangani peningkatan kos rawatan kesihatan swasta yang semakin membebankan rakyat, selain memperluas akses kepada perlindungan kesihatan secara mampan.

Beliau berkata, MediAsas menawarkan dua pilihan pelan iaitu MediAsas Teras dan MediAsas Fleksi, dengan perlindungan sehingga umur 85 tahun serta terbuka kepada individu yang menyertai sebelum usia 70 tahun.

Menurutnya, program rintis akan dilaksanakan di Lembah Klang sehingga Oktober ini melibatkan enam syarikat insurans dan pengendali takaful bersama beberapa hospital swasta terpilih sebelum diperluaskan ke seluruh negara mulai Januari 2027.

Inisiatif itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) yang dipengerusikan bersama Menteri Kesihatan dan Amir Hamzah Azizan.

Bagi memastikan pelaksanaan MediAsas berjalan telus dan mampan, kerajaan turut menubuhkan Lembaga Tadbir Urus Bebas yang akan memantau pelaksanaan inisiatif berkenaan serta melindungi kepentingan pengguna.

Selain memperkenalkan MediAsas, kerajaan meneruskan beberapa reformasi utama di bawah kerangka RESET termasuk mempercepat penggunaan rekod perubatan elektronik (EMR) menerusi Rangkaian Persijilan Kesihatan Digital Malaysia (MDHCN), meningkatkan ketelusan bil hospital swasta serta memodenkan proses pelesenan kemudahan kesihatan swasta.

Dzulkefly berkata, langkah itu turut menyokong peralihan kepada model penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based care) bagi memastikan sistem kesihatan negara kekal cekap, telus dan mampan dalam jangka panjang.

Beliau berkata, MediAsas dijangka menjadi asas penting kepada pembaharuan pembiayaan penjagaan kesihatan swasta, sekali gus memperkukuh perlindungan kesihatan rakyat selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan akses kepada rawatan berkualiti pada kos yang lebih berpatutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *