PUTRAJAYA: Kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos penghantaran ubat kepada kira-kira 80,000 pesakit setiap bulan menerusi Program Ubat Melalui Pos (UMP) yang dijangka mula dilaksanakan di seluruh negara bermula Julai ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif hasil kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu melibatkan peruntukan sebanyak RM5.69 juta setahun yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
Menurut beliau, langkah tersebut akan mengurangkan beban pesakit yang sebelum ini perlu menanggung kos penghantaran ubat sendiri, selain memudahkan mereka mendapatkan bekalan ubat secara lebih cepat dan teratur tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan bagi setiap pengambilan ubat.
Beliau berkata, pemilihan penerima manfaat akan ditentukan oleh KKM berdasarkan syarat dan kelayakan yang ditetapkan di bawah program UMP, manakala urusan penghantaran akan dikendalikan oleh Pos Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) yang dimeterai melalui memorandum persefahaman antara KKM dan MCMC dianggarkan bernilai RM650 juta bagi memperkukuh pendigitalan sistem kesihatan negara.
Katanya, pelaksanaan PERSADA akan dijalankan dalam dua fasa dengan fasa pertama melibatkan kos sekitar RM74 juta yang dibiayai menerusi Universal Services Provision Fund (USP) di bawah pengurusan MCMC.
Beliau turut menjelaskan bahawa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan terus diperkasakan sebagai hab saringan awal kesihatan dan telekesihatan, khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman yang berdepan kekangan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Melalui kemudahan itu, penduduk boleh menjalani pemeriksaan asas seperti tekanan darah dan paras gula dalam darah, selain berhubung dengan doktor serta pakar secara maya. Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga sedang diperluaskan di beberapa pusat NADI termasuk bagi membantu penilaian awal kesihatan menerusi pemeriksaan retina.
Inisiatif berkenaan dilihat mampu meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan serta mempercepat transformasi digital sektor kesihatan negara.
