POLITIK AGAMA JADI TUMPUAN MENJELANG PILIHAN RAYA

Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan bahawa Islam bukan milik eksklusif mana-mana parti politik dan tidak wajar disamakan dengan perjuangan sesebuah parti sehingga menimbulkan tanggapan bahawa meninggalkan parti tertentu bererti meninggalkan Islam.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa “PAS tidak ditenggelamkan selagi bersama Islam” boleh mengundang persepsi bahawa parti itu mempunyai hubungan yang tidak boleh dipisahkan dengan agama Islam.

Menurut beliau, pendekatan sedemikian berisiko mewujudkan tanggapan bahawa mengkritik PAS sama seperti mengkritik Islam.

Sedangkan dalam sistem demokrasi, mana-mana parti politik dan pemimpinnya berhak dinilai serta ditegur oleh rakyat.

Mahfuz turut mempersoalkan konsistensi politik PAS yang pernah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai parti termasuk DAP, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Namun akhirnya berdepan perpecahan dengan sebahagian rakan politik tersebut.

Beliau berkata, rakyat berhak menilai rekod dan pendirian parti itu berdasarkan sejarah kerjasama politik yang sentiasa berubah mengikut keadaan semasa.

Dalam masa sama, Mahfuz turut menyentuh isu pelaksanaan agenda Islam yang sering dibawa PAS seperti RUU355 dan hudud. 

Katanya, ketika PAS berada dalam kerajaan selepas Langkah Sheraton, rakyat tidak melihat perkembangan besar terhadap agenda yang sebelum ini menjadi fokus utama parti berkenaan.

Islam tidak diukur melalui slogan politik atau retorik semata-mata.

Sebaliknya melalui keadilan, amanah, integriti serta keupayaan memimpin dan menyatukan masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia memerlukan politik yang membawa rahmah, kestabilan dan perpaduan.

Bukannya politik yang memonopoli agama untuk mengabsahkan setiap keputusan parti.

Sementara itu, penganalisis politik berpendapat polemik berhubung hubungan antara agama dan parti politik dijangka terus menjadi antara isu utama menjelang beberapa pilihan raya negeri yang bakal berlangsung. 

Mereka berpandangan bahawa rakyat kini semakin matang dalam menilai prestasi dan dasar sesebuah parti berbanding hanya bergantung kepada retorik politik semata-mata.

Perdebatan mengenai peranan agama dalam politik juga dilihat mencerminkan persaingan naratif antara parti-parti politik dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi Melayu-Islam.

Namun pada masa sama perlu memastikan keharmonian masyarakat majmuk terus terpelihara. 

Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah parti politik seharusnya diukur melalui keupayaan menyelesaikan masalah rakyat dan mentadbir dengan berkesan.

Bukannya dengan mendakwa memiliki kebenaran mutlak dalam mentafsir agama. 

Katanya, kematangan demokrasi hanya dapat diperkukuhkan apabila ruang perbezaan pandangan dihormati tanpa melabel pihak yang tidak sehaluan sebagai menentang Islam.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=OCootgrZOuc&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *