KUALA LUMPUR – Satu sistem e-parenting berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dikenali sebagai AskProf dilancarkan sempena sambutan Hari Guru bagi membantu ibu bapa menangani pelbagai isu tingkah laku dan perkembangan anak-anak secara lebih mudah dan pantas.
Sistem inovatif hasil kerjasama antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Akademi-AI itu dibangunkan berasaskan penyelidikan, pengalaman serta penulisan Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof. Dr. Nordin Mamat yang diterjemahkan ke dalam platform AI interaktif.
Menurut Nordin, AskProf diwujudkan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang kini lebih cenderung mendapatkan maklumat melalui platform digital berbanding bahan bacaan konvensional.
“Melalui sistem ini, ibu bapa boleh mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan perkembangan kanak-kanak seperti masalah lambat bercakap, tingkah laku agresif, anak kerap menangis dan isu pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata, hampir semua jawapan yang diberikan oleh sistem tersebut adalah berdasarkan kajian akademik, buku dan pengalaman beliau dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak selama bertahun-tahun.
Tambah beliau, platform itu bukan sahaja membantu ibu bapa, malah boleh dimanfaatkan oleh guru, tadika dan taska sebagai rujukan dalam membimbing perkembangan kanak-kanak secara lebih berkesan.
Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan Akademi Interaktif Sdn. Bhd., Muhd. Haris Hamzah berkata, sistem berkenaan dibangunkan dalam tempoh enam hingga lapan bulan dengan matlamat membawa ilmu akademik daripada universiti terus kepada masyarakat.
Beliau berkata, AskProf kini boleh diakses melalui langganan bulanan serendah RM45 dan dijangka terus diperkasa dengan kandungan baharu, kursus AI serta program micro-credential pada masa hadapan.
Inisiatif tersebut dilihat sebagai langkah baharu dalam memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak menerusi penggunaan teknologi AI, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang pentingnya pelaburan pendidikan pada usia enam tahun pertama kehidupan anak-anak.
