GUA MUSANG – Lebih 100 penduduk Orang Asli di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke di sini, berdepan kesukaran apabila jambatan gantung yang menjadi laluan utama mereka merentasi Sungai Belatop dihanyutkan kepala air petang semalam.
Kejadian itu bukan sahaja memutuskan laluan perhubungan utama penduduk, malah menyukarkan urusan harian mereka untuk keluar masuk ke kawasan luar, termasuk mendapatkan keperluan asas.
Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berkata, kejadian berlaku selepas hujan kira-kira pukul 4 petang sebelum paras air sungai meningkat dan arus menjadi deras.
Katanya, kepala air yang melanda menyebabkan struktur jambatan gantung berkenaan dihanyutkan, manakala tiang konkritnya dipercayai turut patah akibat tekanan arus deras.
Menurutnya, sebahagian penduduk terpaksa berlindung di Dewan Terbuka Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pos Brooke, manakala penduduk lain kekal di rumah masing-masing selepas kejadian.
Kehilangan laluan utama itu memaksa penduduk menggunakan jalan alternatif yang lebih jauh, sekali gus menambah kesukaran mereka untuk menjalani kehidupan harian.
Lebih menyedihkan, jambatan berkenaan pernah dibaik pulih lebih dua tahun lalu selepas mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, susulan laporan media mengenai kesengsaraan penduduk yang terpaksa menggunakan jambatan uzur sebelum ini.
Kejadian terbaharu itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai keperluan menyediakan kemudahan perhubungan yang selamat dan tahan lasak bagi memastikan penduduk Orang Asli tidak terus berdepan risiko terputus hubungan setiap kali berlaku kepala air.
Bagi penduduk Kampung Brooke Lama, jambatan berkenaan bukan sekadar laluan menyeberangi sungai, sebaliknya penghubung penting untuk meneruskan kehidupan dan mendapatkan akses kepada kemudahan di luar kampung.
