MADANI TERKINI | KONSERT SITI NURHALIZA PERKASA KEPELBAGAIAN BUDAYA

Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengakui kekaguman beliau dengan persembahan hebat pada konsert Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin yang mengangkat dan memperkasa kepelbagaian budaya di negara ini.

Perdana Menteri berkata, kehadirannya pada Konsert Tradisional Gema Bumantara malam minggu lalu bertujuan menghargai lantunan lagu etnik kreatif yang dipersembahkan.

Kehadiran beliau juga bagi memenuhi jemputan Siti Nurhaliza dan suami, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa bagi menyertai kira-kira 73,000 peminat penghibur nombor satu negara itu.

“Saya hadir juga walaupun lambat sedikit, tetapi kerana ini, saya ditegur beberapa rakan, terima kasih kepada yang menegur.

“Saya ini ada kelemahan, saya minat juga lagu, bukan sahaja Melayu, Inggeris, Hindustan pun saya minat.

“Pertunjukan berkenaan, Tan Sri Yang Dipertua (Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul) nampak begitu tekun mendengar, memperkasa budaya Melayu, ada wayang kulit, tarian tradisional, pertunjukan Sabah dan Sarawak.

“Semuanya (persembahan konsert Siti Nurhaliza) memberikan kebanggaan terhadap kekuatan warisan, lagu klasik dan budaya Melayu,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau yang jelas teruja dengan kemeriahan membudayakan warisan seni kebangsaan itu berkata demikian bagi mengulas soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Konsert Tradisional Gema Bumantara anjuran SN Legacy yang berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil berjaya menarik kehadiran 73,000 penonton walaupun berlangsung dalam suasana hujan.

Ia turut menyaksikan Noraniza Idris kembali berduet dengan Siti Nurhaliza, selepas lebih dua dekad tidak berkongsi pentas menerusi lagu duet mereka, Hati Kama.

Selain PMX, turut hadir memberi sokongan ialah Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut berharap agar lebih banyak persembahan sebegini dapat diadakan bagi memartabatkan warisan dan budaya citra Malaysia.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=13NMBx36J90&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *