RON97, RON95 TANPA SUBSIDI NAIK LAGI

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 15 sen seliter bagi tempoh 8 hingga 14 Oktober ini, manakala harga diesel tanpa subsidi kekal.

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga RON97 kini ditetapkan pada RM5.15 seliter, berbanding RM5 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM4.67 seliter daripada RM4.52.

Harga diesel tanpa subsidi pula kekal pada RM5.27 seliter bagi tempoh sama.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, kenaikan itu berlaku ketika harga minyak mentah Brent masih berada sekitar AS$100 (RM421) setong sepanjang tempoh pengiraan APM.

Menurut kementerian itu, meskipun aliran minyak mentah dari Asia Barat semakin pulih, harga minyak mentah dunia kekal tinggi dengan tekanan harga kini lebih tertumpu kepada produk petroleum bertapis.

“Tekanan harga kini semakin tertumpu pada produk petroleum bertapis, susulan China menggantung sebahagian besar eksport bahan api bagi Oktober, sekali gus mengehadkan bekalan di pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan mengekalkan harga petrol dan diesel bersubsidi menerusi mekanisme Budi MADANI bagi melindungi pengguna yang layak daripada kesan kenaikan harga minyak global.

Penerima Budi95 terus menikmati harga RM1.99 seliter, berbanding harga tanpa subsidi RM4.67, dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.68 seliter, bersamaan 57 peratus daripada harga tanpa subsidi.

Bagi penerima Budi Diesel, harga kekal RM2.10 seliter berbanding RM5.27 tanpa subsidi, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.17 seliter atau 60 peratus.

Harga petrol dan diesel bersubsidi di bawah SKPS dan SKDS turut dikekalkan masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *