KERAJAAN LARANG PENJAWAT AWAM GUNA WAZE

PUTRAJAYA – Kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta susulan kebimbangan terhadap keselamatan siber dan perlindungan data pengguna.

Arahan itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul Azri berkata, semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan perlu memastikan arahan berkenaan dimaklumkan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk di semua agensi dan jabatan berkaitan.

Menurutnya, sebarang pertanyaan atau penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan arahan itu boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri sebagai agensi penyelaras.

Sementara itu, MKN dalam kenyataan pada Rabu menegaskan kerajaan memandang serius risiko keselamatan berkaitan pengumpulan data lokasi, pergerakan, perjalanan serta maklumat peranti pengguna oleh aplikasi berkenaan.

Kerajaan menegaskan perlindungan data rakyat dan kedaulatan maklumat negara kekal sebagai keutamaan, selain tidak berkompromi terhadap sebarang risiko keselamatan yang melibatkan Israel.

Larangan itu turut mencerminkan pendekatan kerajaan dalam memperkukuh disiplin keselamatan digital sektor awam, khususnya bagi mengurangkan risiko pendedahan maklumat sensitif yang boleh menjejaskan kepentingan strategik negara.

Arahan itu menuntut pematuhan menyeluruh di peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi memastikan langkah keselamatan yang diputuskan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *