PUTRAJAYA – Keperluan mahasiswa dan institusi pengajian tinggi (IPT) turut diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2027 yang sedang dimuktamadkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, Belanjawan 2027 merangkumi pelbagai sektor dan kelompok masyarakat, termasuk mahasiswa, universiti, petani, nelayan, Orang Asli serta bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, kerajaan akan berusaha memenuhi keperluan pelbagai kelompok dalam batas kemampuan kewangan negara, termasuk memastikan kepentingan sektor pendidikan tinggi tidak diketepikan.
“Insya-Allah, tentunya mahasiswa dan universiti juga tergolong dalam (belanjawan) itu. Mudah-mudahan saya dapat sampaikan apa yang mampu dalam keterbatasan yang ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara di sini, malam tadi.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalannya, Adam Adli Abd Halim serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyediaan Belanjawan 2027 memerlukan penelitian menyeluruh berikutan tuntutan dan keperluan yang dikemukakan ribuan persatuan, ratusan jabatan serta puluhan kementerian.
Beliau berkata, tuntutan berkenaan merangkumi pelbagai bidang, termasuk keperluan petani di Kedah, nelayan di Terengganu, masyarakat Orang Asli, rumah panjang Iban di Sarawak, selain sektor teknologi dan AI.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata kesibukannya memuktamadkan Belanjawan 2027 menyebabkan hampir semua acara yang dijadualkan minggu ini terpaksa dibatalkan, kecuali beberapa program tertentu.
Namun, beliau memilih untuk menghadiri Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara sebagai tanda perhatian terhadap mahasiswa dan pendidikan tinggi negara.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini, sekali gus menjadi Belanjawan MADANI kelima yang memberi tumpuan kepada kesinambungan pelaksanaan Kerangka Ekonomi MADANI.
Sebagai belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Belanjawan 2027 akan terus berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan rakyat serta Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara.
