TUJUH PREMIS JADI SARANG AEDES

KUANTAN – Kebimbangan penduduk terhadap ancaman denggi kembali membara apabila sebanyak tujuh premis di sepanjang jalan persisiran pantai Balok di sini dikesan mempunyai pembiakan Aedes dalam Operasi Gempur Aedes, kelmarin.

Keadaan itu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk dan pengunjung yang berharap aspek kebersihan persekitaran tidak dipandang ringan, khususnya di kawasan tumpuan awam yang sering dikunjungi orang ramai.

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan terhadap 142 premis oleh 54 anggota menerusi 18 sub pasukan dari tujuh daerah bagi mempergiat usaha kawalan dan pencegahan denggi.

Operasi dilaksanakan Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri Pahang bersama Unit Penyakit Bawaan Vektor, JKNP dengan membabitkan pasukan dari Bera, Temerloh, Maran, Kuantan, Rompin, Pekan dan Jerantut.

Menurut JKNP, pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada kawasan tumpuan awam di sepanjang jalan persisiran pantai Balok bagi mengesan tempat pembiakan Aedes serta memastikan pemilik premis mematuhi peraturan ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tujuh premis mempunyai pembiakan Aedes dan dikenakan tindakan kompaun.

“Selain itu, lapan Notis Perintah di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975) dikeluarkan terhadap premis yang didapati mempunyai keadaan berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk berharap operasi seumpama itu dilakukan secara berterusan dan tidak hanya ketika kes denggi mula meningkat kerana pencegahan awal amat penting bagi mengelakkan wabak menular dalam komuniti.

Orang ramai juga disaran memainkan peranan dengan memastikan kawasan kediaman dan premis masing-masing bebas daripada bekas yang boleh menakung air, selain segera melaporkan lokasi yang dikenal pasti berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes.

Tindakan tegas terhadap pemilik premis yang mengabaikan kebersihan pula dilihat penting sebagai peringatan bahawa usaha membendung denggi bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.

Penduduk tidak mahu ancaman nyamuk Aedes yang boleh membawa penyakit berbahaya terus menghantui kehidupan mereka, terutama di kawasan yang menjadi tumpuan keluarga dan pelancong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *