GOMBAK – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyambut baik hasrat kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta memperkenalkan kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh bagi sektor pendidikan tinggi negara.
Rektor UIAM, Professor Emeritus Dato’ Sri Dr. Osman Bakar berkata, langkah berkenaan membuka ruang penting untuk memperkukuh peranan universiti sebagai institusi ilmu, selain memberi peluang lebih luas kepada mahasiswa membina pemikiran matang dan bebas.
Menurut beliau, kebebasan yang diperluaskan perlu disertai tanggungjawab, integriti intelektual serta keprihatinan terhadap kepentingan bersama.
“Mahasiswa wajar diberikan ruang untuk menilai dan membahaskan isu semasa secara kritis berasaskan ilmu dan kebijaksanaan, selain menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat.
“Aspirasi ini amat bertepatan dengan komitmen UIAM terhadap Epistemologi Tauhid (Tawhidic Epistemology) yang menekankan kefahaman ilmu secara bersepadu berteraskan kesatuan antara kebenaran, nilai dan tanggungjawab insan,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan turut selari dengan gagasan kecemerlangan ummah (ummatic excellence) yang menjadi landasan UIAM dalam melahirkan graduan berkeupayaan dari segi intelektual, kukuh nilai dan akhlak serta bersedia berkhidmat kepada masyarakat dan kemanusiaan.
Dalam pada itu, beliau berpandangan kerangka perundangan baharu perlu memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan tadbir urus universiti yang baik, di samping memastikan mekanisme akauntabiliti yang sewajarnya.
Katanya, proses pembentukan kerangka berkenaan juga perlu mengambil kira pandangan serta pengalaman universiti, ahli akademik, mahasiswa dan pemegang taruh lain dalam ekosistem pendidikan tinggi.
“UIAM berharap reformasi ini akan terus memperkukuh universiti di Malaysia sebagai wadah pencarian ilmu dan kebenaran, di samping membentuk generasi masa hadapan yang berfikiran terbuka, bertanggungjawab dan berwawasan.
“Generasi ini juga diharapkan terus beriltizam menyumbang kepada kemajuan negara serta kesejahteraan sejagat,” katanya.
