JAKARTA – Cubaan seorang lelaki warga China menyeludup 10.4 kilogram (kg) jongkong emas bernilai 26 bilion rupiah (RM6 juta) ke Hong Kong digagalkan Jabatan Kastam dan Eksais Bali di Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai, baru-baru ini.

Suspek dikenali sebagai ZG ditahan pada Ahad ketika dipercayai cuba berlepas ke Hong Kong menaiki penerbangan Cathay Pacific.

Ketua Jabatan Kastam dan Eksais Ngurah Rai, Wawan Dharmawan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat risikan mengenai seorang penumpang yang disyaki membawa jongkong emas untuk dibawa keluar dari Indonesia.

Menurutnya, operasi pengawasan kemudian dijalankan dengan kerjasama pihak imigresen, keselamatan lapangan terbang serta pegawai lain di terminal pelepasan.

“Emas tersebut disembunyikan pada badan penumpang bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati ZG berkelakuan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan beberapa bungkusan berwarna coklat yang mengandungi 14 jongkong emas.

Ujian di Pusat Makmal Kastam Surabaya (BLBC) bagi Unit Perkhidmatan Ngurah Rai mengesahkan jongkong berkenaan adalah emas dengan tahap ketulenan melebihi 99 peratus.

Suspek kini berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda maksimum lima bilion rupiah (RM1.1 juta) jika didapati bersalah.

Kes berkenaan kini disiasat bagi mengenal pasti sumber emas serta tujuan sebenar penyeludupan barangan berharga itu ke Hong Kong. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *