JBPM SEDIA DIGERAKKAN BANTU SAR DI NEPAL

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menggerakkan pasukan khas ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana yang melanda negara itu, sekiranya menerima arahan kerajaan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, persiapan awal termasuk mengenal pasti anggota berkemahiran serta melengkapkan dokumentasi telah dibuat bagi memastikan pasukan dapat digerakkan dalam tempoh singkat.

Menurutnya, penghantaran pasukan Malaysia bagaimanapun bergantung kepada permohonan rasmi kerajaan Nepal serta arahan Wisma Putra dan penyelarasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Buat masa ini, kita bersedia untuk menghantar pasukan jika ada pengarahan dan permohonan daripada kerajaan Nepal.

“Jika mendapat arahan daripada Wisma Putra dan koordinasi daripada NADMA, kita akan sediakan pasukan terbaik untuk ke Nepal,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Beliau berkata, JBPM telah mengenal pasti anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (STORM) yang mempunyai kemahiran serta pengalaman dalam mengendalikan operasi bencana di luar negara.

Katanya, dokumentasi awal setiap anggota berpotensi turut disediakan bagi mempercepatkan proses mobilisasi sekiranya arahan penghantaran dikeluarkan.

Nor Hisham berkata, pengalaman JBPM melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dan SAR di Turkiye sebelum ini turut membantu memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan kekal tinggi bagi menghadapi penugasan antarabangsa.

“Sekiranya arahan dikeluarkan, pasukan terbabit boleh digerakkan dalam tempoh singkat tanpa mengira notis yang diberikan. Ada pengarahan, walaupun secara short notice (notis pendek), kita bersedia untuk digerakkan,” katanya.

Beliau pada masa sama mendoakan agar semua mangsa bencana di Nepal berada dalam keadaan selamat dan operasi menyelamat dipermudahkan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *