SEPANG – Kerajaan Selangor memberi jaminan pembangunan pusat data di negeri itu tidak akan menjejaskan bekalan air dan elektrik rakyat, dengan setiap projek tertakluk kepada syarat serta penilaian kapasiti utiliti yang ketat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata semua permohonan pembangunan pusat data perlu mendapat kelulusan Pasukan Petugas Pusat Data Persekutuan, selain pengesahan kapasiti bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan air oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Katanya, kerajaan negeri amat peka terhadap kebimbangan rakyat berhubung penggunaan sumber air dan elektrik susulan pertumbuhan pesat industri berkenaan.
“Tanpa bekalan air yang mencukupi, sudah tentu pusat data tidak boleh diluluskan di Selangor,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis penyerahan pemilikan kosong Fasa 1 Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP), di sini.
Beliau berkata demikian susulan cadangan NCT Alliance Bhd menjual tanah kira-kira 40.47 hektar di NSIP untuk pembangunan pusat data yang berpotensi menyokong kapasiti sehingga 800 megawatt (MW).
Amirudin berkata keyakinan terhadap kecukupan bekalan air turut disokong pembangunan Skim Bekalan Air Rasau yang dijangka menambah kapasiti sebanyak 350 juta liter sehari (MLD), dan boleh mencapai sehingga 700 MLD apabila fasa pertama siap sepenuhnya.
Pada masa sama, kerajaan negeri menggalakkan pengendali pusat data menggunakan sistem kitar semula air serta teknologi penyejukan yang lebih cekap bagi mengurangkan penggunaan air terawat.
Menurutnya, perkembangan industri pusat data turut berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada Selangor menerusi pengukuhan sektor elektrik dan elektronik (E&E), cip serta semikonduktor.
Beliau berkata dasar kandungan tempatan sebanyak 30 peratus yang diperkenalkan negeri itu turut bertujuan memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mendapat manfaat daripada rantaian ekonomi industri pusat data.
Amirudin turut menyifatkan pembangunan NSIP sebagai antara pemangkin penting kepada Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS), khususnya dalam menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.
Kerajaan negeri, katanya, akan terus memastikan pertumbuhan industri berteknologi tinggi berjalan seiring dengan keperluan sumber asas dan kepentingan rakyat.
