Timbalan Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin parti yang menganggotai Kabinet tidak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendesak Perdana Menteri secara terbuka supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, soal pembubaran Parlimen dan penetapan masa PRU-16 merupakan perkara yang berada di bawah kuasa Perdana Menteri.
Di mana ia selaras dengan Perkara 40 dan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Perkara 43(3) menetapkan Jemaah Menteri bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen, berasaskan doktrin Tanggungjawab Bersama Menteri atau ‘Collective Ministerial Responsibility’.
Tambahnya lagi, kedudukan seseorang Menteri dalam Kabinet, termasuk sebagai Timbalan Perdana Menteri atau Presiden parti dalam kerajaan gabungan tidak memberikan hak untuk secara terbuka bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri mengenai tempoh Parlimen.
Malah katanya, jika seseorang Menteri dan partinya tidak bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri untuk membiarkan Parlimen ke-15 meneruskan tempoh sehingga tamat penggal.
Tindakan yang wajar dan bermaruah ialah mempertimbangkan peletakan jawatan daripada Kabinet.
Beliau berkata, tindakan kekal dalam Kabinet sambil secara terbuka menentang keputusan Perdana Menteri boleh menimbulkan persoalan terhadap pematuhan prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri.
Kenyataan itu susulan pandangan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan PRU-16 lebih baik diadakan lebih awal bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Bagaimanapun, Zahid menegaskan, BN bersedia menghadapi pilihan raya sekiranya penggal Parlimen ke-15 diteruskan sehingga penghujung tempohnya.
Perbahasan mengenai masa PRU-16 kini tertumpu kepada persoalan bila Parlimen wajar dibubarkan.
Di samping sejauh mana perbezaan pandangan dalam kerajaan boleh dizahirkan secara terbuka tanpa menjejaskan prinsip tanggungjawab bersama Kabinet.
Namun, pendirian Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tidak terburu-buru mempertimbangkan PRU16 memperlihatkan beliau lebih mengutamakan kepentingan rakyat berbanding percaturan politik jangka pendek.
Ketika ada gesaan supaya pilihan raya diadakan lebih awal,PMX dilihat konsisten meletakkan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi sebagai asas utama pentadbiran negara.
Pendekatan itu penting kerana rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan dan pembangunan ekonomi.
Sehubungan dengan itu, beliau juga wajar diberi ruang untuk memastikan pelbagai agenda reformasi kerajaan dapat diteruskan tanpa terganggu oleh suasana politik dan kempen pilihan raya yang terlalu awal.
Keengganan untuk bertindak secara gopoh menunjukkan keputusan berkaitan PRU16 tidak seharusnya dibuat berdasarkan tekanan atau kepentingan mana-mana parti semata-mata.
Sebaliknya, Perdana Menteri perlu mempertimbangkan masa yang paling sesuai supaya sebarang keputusan pilihan raya tidak menjejaskan kestabilan ekonomi dan keyakinan pelabur.
Dalam konteks itu, pendirian PMX mempertahankan kestabilan politik mencerminkan keutamaan beliau untuk memastikan Kerajaan MADANI terus bekerja menyelesaikan masalah rakyat.
Malah, Ahli Parlimen Tambun itu sebelum ini menegaskan bahawa beliau memilih kestabilan dan kemakmuran rakyat melalui pertumbuhan ekonomi serta mahu kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus dipelihara.
Pendekatan tersebut memperlihatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak menjadikan PRU sebagai matlamat utama.
Sebaliknya melihat mandat kerajaan sebagai amanah yang perlu digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.
Justeru, jika PRU16 akhirnya dipanggil lebih awal, keputusan itu sewajarnya dibuat atas pertimbangan kepentingan negara dan rakyat.
Bukannya kerana tekanan politik, dengan Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab memastikan kestabilan Malaysia terus terpelihara.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=2UzAzqw6Sb8&ra=m
