KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) City FC kembali mendapat ruang untuk memperkuatkan pasukan apabila sekatan pendaftaran pemain yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ditarik balik sepenuhnya.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman yang berkata pihaknya telah menerima emel daripada FIFA berhubung penarikan sekatan berkenaan.
Menurutnya, perkembangan itu membolehkan KL City kembali mendaftarkan pemain baharu selepas sebelum ini berdepan kekangan susulan isu tunggakan bayaran membabitkan pemain import.
“Dah ditarik sepenuhnya semalam. KL City dah mula daftar pemain seperti mana yang diperlukan.
“Perkara ini sudah diketahui kelab dan mereka sedang mendaftarkan pemain-pemain (tonggak baharu) ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Noor Azman berkata, FAM turut memaklumkan perkembangan itu kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), manakala KL City kini sedang melengkapkan proses pengisian maklumat serta pendaftaran pemain dalam sistem.
Penarikan sekatan itu hadir pada waktu penting buat The City Boys selepas mereka melalui permulaan cukup sukar dalam kempen Liga Super musim ini.
KL City sebelum ini gagal menurunkan pasukan bagi aksi menentang Negeri Sembilan FC sehingga lawan diberikan kemenangan percuma 3-0.
Dalam aksi kedua pula, skuad kendalian Dollah Salleh berdepan Kuching City dengan barisan pemain yang amat terhad sebelum tewas 0-6.
Dengan sekatan FIFA kini ditarik balik sepenuhnya, KL City berpeluang memperkemaskan semula skuad menerusi pendaftaran pemain baharu bagi menguatkan pasukan.
Langkah itu diharap dapat membantu The City Boys melupakan permulaan buruk musim ini dan kembali bersaing dalam Liga Super.
