LIGA RAKYAT PAHANG TERUS PERKASA BAKAT AKAR UMBI

KUANTAN – Kerajaan Pahang akan terus memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dengan menyediakan lebih banyak ruang, pertandingan dan peluang kepada anak negeri menyerlahkan bakat masing-masing.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu penting bagi memastikan lebih ramai pemain tempatan berpeluang mengasah kemahiran menerusi pertandingan yang kompetitif.

Katanya, sambutan menggalakkan terhadap edisi sulung Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah yang menghimpunkan 105 pasukan dengan kira-kira 2,600 pemain membuktikan minat tinggi terhadap pembangunan bola sepak akar umbi di negeri itu.

“Tahniah kepada semua pihak yang menjayakan Liga Rakyat Pahang 1st. Terima kasih kepada seluruh rakyat Pahang yang memberikan sokongan terhadap liga ini.

“Insya-Allah, Kerajaan Pahang akan terus memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dengan menyediakan lebih banyak ruang, pertandingan dan peluang kepada anak Pahang menyerlahkan bakat masing-masing, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya.

Liga yang bermula 6 Jun lalu itu melabuhkan tirai menerusi aksi final di Stadium Darul Makmur, malam tadi, dengan YPM FC muncul juara selepas menewaskan Majlis Daerah Raub (MDR) 2-1.

YPM FC membuka jaringan menerusi Wan Muhammad Akmal Hakim Wahab pada minit ke-13 sebelum Nasyrullah Mohd Zaki menggandakan kelebihan pada minit ke-40.

MDR cuba bangkit dan merapatkan jurang menerusi Zaiful Zakwan Arnain pada minit ke-80, namun YPM FC berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu membolehkan YPM FC membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000, manakala MDR menerima RM20,000 sebagai naib juara.

Aksi final turut disaksikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *