PETALING JAYA – Mahasiswa perlu diberikan kebebasan sepenuhnya untuk bersuara dan mengemukakan kritikan bagi menjadikan institusi pengajian tinggi sebagai medan percambahan pemikiran kritis serta perkembangan budaya keilmuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebebasan berkenaan penting bagi membolehkan mahasiswa mempertahankan hujah serta menyuarakan pandangan tanpa dikongkong oleh peraturan yang tidak wajar.
Beliau berkata, mana-mana pelajar yang dikenakan tindakan disiplin semata-mata kerana bersuara atau mengkritik kerajaan, termasuk Perdana Menteri, perlu dibebaskan serta-merta susulan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
“Selagi tidak melanggar peraturan jenayah melibatkan polis dan universiti, maka pelajar harus dilepaskan serta-merta.
“Kalau ada yang dikenakan tindakan semata-mata kerana suara dan kritikan termasuk terhadap Perdana Menteri, saya rasa mulai esok mereka harus dilepaskan sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 13 ‘Pendidikan Masa Depan dan AUKU’ di Universiti Malaya di sini malam ini.
Anwar berkata, kebebasan sama perlu diberikan kepada golongan akademik untuk menyuarakan pandangan dan kritikan, namun ia hendaklah berasaskan kajian terperinci, fakta serta hujah ilmiah yang boleh dipertahankan.
Katanya, pandangan akademik tidak seharusnya disekat atau dikongkong oleh peraturan atau dasar kerajaan kerana universiti perlu kekal sebagai ruang yang subur untuk penelitian, perbahasan dan perkembangan ilmu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kebebasan bersuara perlu digunakan secara bertanggungjawab dan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengemukakan dakwaan yang tidak berasaskan fakta atau ilmu.
Sehubungan itu, beliau berharap pemansuhan AUKU dapat membuka lembaran baharu dalam pendidikan tinggi negara dengan memberi lebih banyak ruang kepada mahasiswa dan warga akademik untuk berfikir secara bebas, kritis serta matang.
