TIADA LAGI MAHASISWA MENJADI MANGSA KERANA BERSUARA

Semoga tiada lagi mahasiswa yang menjadi mangsa kerana bersuara. Universiti seharusnya menjadi tempat mahasiswa belajar mengemukakan pandangan, mengkritik dasar, berbeza pendapat dan mempertahankan hujah berdasarkan ilmu dan fakta.

1. Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik dan menyokong penuh hasrat Kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 seperti diumumkan YAB Perdana Menteri pada 15 Ogos 2026.

    2. AMANAH melihat langkah ini sebagai satu lagi tonggak penting reformasi institusi dan pendidikan tinggi negara. Mahasiswa tidak sepatutnya berdepan tindakan tatatertib semata-mata kerana pandangan politik atau pandangan mereka terhadap sesuatu isu masyarakat.

    3. Selama lebih lima dekad, AUKU menjadi sebahagian daripada kerangka perundangan yang mengawal ruang mahasiswa dalam berpersatuan, bersuara, berpolitik dan berinteraksi dengan masyarakat.

    4. Pemansuhannya harus menjadi titik perubahan daripada budaya mengawal mahasiswa kepada budaya mempercayai dan memperkasa mahasiswa.

    5. Sekatan AUKU pernah melampaui pagar universiti. Dalam sejarahnya, AUKU bukan hanya membataskan aktiviti mahasiswa di dalam kampus. Peruntukan tertentu turut mengehadkan penglibatan mahasiswa dengan parti politik, pertubuhan dan aktiviti di luar universiti. Tidak kurang peristiwa mahasiswa dikenakan tindakan tataterbib seterusnay menafikan hak mereka menuntut di menara gading.

    6. Kita juga tidak boleh melupakan sejarah gerakan mahasiswa. Pada era 1970-an, mahasiswa tampil membangkitkan isu kemiskinan, harga barang, nasib petani dan ketidakadilan sosial. Kemuncaknya ialah Peristiwa Baling 1974, yang menyaksikan penglibatan mahasiswa dalam gerakan membela nasib rakyat.

    7. Sejarah empat mahasiswa UKM dikenakan tindakan berhubung penglibatan mereka dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada tahun 2010 tidak boleh dilupakan. Kes tersebut akhirnya sampai ke mahkamah dan menjadi antara kes penting dalam perkembangan hak mahasiswa di bawah AUKU.

    8. Mahkamah Persekutuan pada 2012 menolak rayuan Kerajaan berhubung keputusan yang mencabar sekatan terhadap mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap parti politik.

    9. Akibatnya, mahasiswa yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada masyarakat akhirnya berdepan persoalan. Bolehkah mereka mengambil pendirian terhadap isu yang berlaku di sekeliling mereka? Wajarkah Universiti menjadi menara gading yang terpisah daripada denyut nadi rakyat?

    10. Kita mungkin berbeza pandangan terhadap tindakan atau pendekatan mahasiswa ketika itu. Namun, Mahasiswa yang prihatin terhadap masalah rakyat adalah aset dan bukan ancaman kepada negara. Mahasiswa mesti diberikan ruang untuk belajar demokrasi melalui pengalaman sebenar.

    11. Pindaan AUKU pada 2012 merupakan langkah penting apabila beberapa sekatan terhadap penglibatan politik mahasiswa dilonggarkan. Namun, jika selepas lebih sedekad masih terdapat keperluan untuk melakukan reformasi yang lebih menyeluruh, ini menunjukkan bahawa perubahan tidak boleh berhenti pada pindaan kecil.

    12. Pemansuhan AUKU sepenuhnya harus menjadi pemula untuk membina kerangka baharu yang lebih demokratik, matang dan berasaskan autonomi sendiri. Universiti mesti kembali menjadi medan intelektual yang baik, bukan universiti yang hanya melahirkan graduan yang memperolehi keputusan cemerlang.

    13. Universiti yang baik melahirkan generasi yang mampu berfikir secara kritis, menguji sesuatu idea, berbeza pendapat secara matang, mempertahankan hujah berdasarkan fakta, memahami masalah masyarakat dan menawarkan penyelesaian kepada negara.

    14. AMANAH menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memastikan kerangka baharu yang menyeluruh dengan memberikan penekanan kepada jaminan kebebasan bersuara, hak untuk berpersatuan, proses tatatertib yang telus, mekanisme rayuan yang berkesan dan ruang yang lebih luas untuk mahasiswa terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan kehidupan kampus.

    15. AMANAH menyokong sepenuhnya hasrat ini dan berharap Kerajaan akan meneruskannya sehingga universiti Malaysia benar-benar menjadi medan ilmu yang bebas berkarya dan bersuara, demokratik dan bertanggungjawab.

      YB Azli Bin Yusof
      Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat
      PARTI AMANAH NEGARA
      17 Ogos 2026

      Leave a Reply

      Your email address will not be published. Required fields are marked *