Cadangan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut disifatkan sebagai tidak sesuai dalam keadaan semasa.
Terutamanya ketika negara masih berdepan cabaran ekonomi dan ketidaktentuan politik.
Pengerusi Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Zulkarnain Lukman menegaskan bahawa cadangan tersebut dilihat lebih berasaskan pertimbangan politik sempit, iaitu menang atau kalah, berbanding kepentingan rakyat dan kestabilan pentadbiran negeri.
Menurutnya, pengalaman PRN di Johor dan Melaka sebelum ini menunjukkan kemenangan besar tidak semestinya mencerminkan sokongan sebenar rakyat.
“Berikutan kadar keluar mengundi yang rendah ketika pandemik COVID-19.
“Peratusan keluar mengundi PRN lazimnya hanya sekitar 50 hingga 60 peratus, berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) yang boleh mencecah sehingga 80 peratus.
“Ini menjejaskan kualiti keputusan demokrasi,” katanyadipetik Suara Keadilan.
Beliau turut menegaskan bahawa kos penganjuran PRN yang mencecah puluhan juta ringgit adalah tidak wajar dalam keadaan ekonomi mencabar.
Selain berpotensi mengganggu fokus kerajaan dalam menangani isu lebih mendesak seperti krisis tenaga dan pemulihan ekonomi.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Democratic Action Party (DAP), Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa parti itu telah mengarahkan seluruh jentera untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRN mengejut di Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.
Bagaimanapun, beliau menegaskan DAP tidak bersetuju dengan sebarang cadangan untuk menukar Menteri Besar ketika ini dan terus menyokong kepimpinan Dato’ Seri Aminuddin Harun.
“Segala isu melibatkan institusi Raja dan Adat Pepatih perlu diselesaikan secara tertib mengikut Perlembagaan,” katanyapula dipetik Harapan Daily.
Beliau turut menjunjung titah Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya pentadbiran negeri diteruskan seperti biasa.
Sementara itu, penganalisis politik daripada Ilham Centre, Yusri Ibrahim berpandangan Barisan Nasional (BN) berdepan laluan sukar sekiranya PRN diadakan tanpa kerjasama Pakatan Harapan (PH).
Beliau menjelaskan, kemenangan BN dalam PRN 2023 banyak bergantung kepada pemindahan undi daripada penyokong PH, khususnya di kerusi marginal.
“Tanpa sokongan pengundi PH, agak sukar untuk BN mempertahankan beberapa kerusi yang dimenangi dengan majoriti kecil,” katanya dipetik FMT.
Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
Sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keabsahan majoriti kerajaan negeri.
Namun, situasi itu sedikit reda apabila kepimpinan parti di peringkat pusat menyatakan sokongan berterusan terhadap Kerajaan Perpaduan, walaupun terdapat perbezaan pendirian di peringkat negeri.
Perkembangan ini memperlihatkan landskap politik Negeri Sembilan yang masih tidak stabil, dengan kemungkinan PRN mengejut menjadi pilihan terakhir sekiranya kemelut majoriti tidak dapat diselesaikan melalui saluran sedia ada.
Namun begitu, kebimbangan utama yang dibangkitkan pelbagai pihak adalah kesan terhadap kestabilan pentadbiran, pembaziran sumber kewangan serta risiko ketegangan politik antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam masa sama, pendirian parti seperti DAP yang menolak pertukaran Menteri Besar tetapi tetap bersiap sedia menghadapi PRN menunjukkan pendekatan “bersedia untuk semua kemungkinan” dalam situasi politik yang tidak menentu.
Terkini, Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama politik di Negeri Sembilan bagi menjamin kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, majlis perundingan tersebut menghormati pendirian diputuskan oleh Biro Politik kedua-dua pihak berhubung isu di Negeri Sembilan.
Secara keseluruhan, keutamaan ketika ini dilihat lebih terarah kepada mengekalkan kestabilan kerajaan negeri dan menyelesaikan isu perlembagaan serta institusi secara berhemah, berbanding tergesa-gesa mengadakan pilihan raya yang berisiko mencetuskan ketidaktentuan baharu.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch v=CAWAWRR8GXk&pp=0gcJCQMLAYcqIYzv
