SEREMBAN – Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menawarkan insentif tunai sehingga RM50 kepada orang awam yang menyerahkan anjing terbiar secara sukarela menerusi Program Pemberian Insentif Penyerahan Anjing Terbiar Secara Sukarela 2026, bermula 24 Ogos ini.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, insentif RM50 diberikan bagi setiap anjing dewasa, manakala anak anjing berusia bawah enam bulan menerima RM25.
Menurutnya, program itu diperkenalkan susulan banyak aduan berkaitan anjing terbiar yang bukan sahaja menimbulkan gangguan, malah boleh menjejaskan aspek keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan penduduk.
Katanya, usaha menangkap anjing terbiar bagaimanapun sering berdepan kesukaran apabila haiwan berkenaan sudah tiada di lokasi ketika pasukan MBS tiba selepas menerima aduan.
“Dengan adanya kaedah ini, penduduk dapat membantu menangkap anjing berkenaan di samping menerima insentif yang ditawarkan,” katanya.
Masri berkata, program berkenaan tidak bermaksud MBS menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada orang awam kerana kontraktor yang dilantik masih menjalankan operasi tangkapan seperti biasa.
Sebaliknya, katanya, inisiatif itu menjadi pendekatan tambahan dengan menggalakkan penglibatan komuniti dalam menangani masalah anjing terbiar.
Antara syarat ditetapkan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia, mempunyai dokumen pengenalan diri dan menetap dalam kawasan pentadbiran MBS.
Anjing yang diserahkan pula mestilah dalam keadaan hidup, tidak mengalami kecederaan serius atau didera serta tidak berlesen atau mempunyai bukti pemilikan. Penyerahan hanya dibenarkan daripada individu dan persatuan penduduk berdaftar, manakala permohonan daripada NGO tidak diterima.
Penyerahan perlu dibuat terus kepada Jabatan Kesihatan Persekitaran, Wisma MBS antara jam 9 pagi hingga 4 petang, tertakluk kepada tarikh, lokasi dan arahan pegawai MBS.
Masri berkata, semua anjing yang diterima akan dihantar ke pusat perlindungan yang diluluskan untuk penjagaan oleh NGO dilantik.
Dalam pada itu, individu yang mahu mengambil semula atau mengambil anjing terbabit boleh berbuat demikian dengan bayaran RM250 seekor, selain haiwan berkenaan perlu dimandulkan terlebih dahulu.
Program itu akan dilaksanakan tertakluk kepada peruntukan semasa MBS dan diteruskan mengikut keperluan bagi membantu mengawal populasi anjing terbiar di kawasan pentadbiran berkenaan.
