KUALA LUMPUR – Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Afiq Fazail mencipta sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga M Awards 2025/26, sekali gus melengkapkan musim gemilangnya bersama Harimau Selatan.
Pengiktirafan itu menjadi MVP pertama buat pemain berusia 32 tahun berkenaan selepas tiga kali memenangi Anugerah Pemain Tengah Terbaik pada edisi 2022, 2023 dan 2025/26.
Afiq turut memainkan peranan penting dalam kejayaan JDT mencipta quadruple buat kali keempat pada musim lalu selepas menjuarai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
“Saya pun terkejut saya dapat MVP kali ini. Alhamdulillah, rezeki. Terima kasih kepada semua rakan sepasukan kerana tanpa mereka, kejayaan ini sukar untuk dicapai.
“Saya rasa ini juga rezeki untuk isteri dan anak-anak saya,” katanya.
Kejayaan Afiq turut menamatkan penguasaan rakan sepasukannya, Arif Aiman Hanapi, yang sebelum ini memenangi anugerah MVP empat tahun berturut-turut.
Selain MVP, Afiq turut meraih Anugerah Pemain Tengah Terbaik selepas menewaskan Danial Amier Norhisham dari Kuching City FC dan Nooa Laine dari Selangor FC.
Dominasi JDT semakin terserlah apabila kelab itu menguasai tujuh kategori utama, termasuk menerusi Ahmad Syihan Hazmi sebagai Penjaga Gol Terbaik, Bergson da Silva sebagai Pemain Import Terbaik dan Xisco Munoz sebagai Jurulatih Terbaik.
JDT turut dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik, manakala penyokongnya, Boys of Straits, meraih Anugerah Penyokong Terbaik.
Bergson turut membawa pulang Kasut Emas Liga Super selepas meledak 27 gol, sementara Safawi Rasid dari Kuala Lumpur City FC memenangi Kasut Emas Liga Super (Tempatan) dengan 13 jaringan.
Sementara itu, Selangor FC turut mencipta kejayaan menerusi Quentin Cheng yang memenangi Pertahanan Terbaik dan Faisal Abdul Halim sebagai Penyerang Terbaik.
Faisal menghasilkan 17 gol sepanjang musim lalu dan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kebangkitan selepas melalui tempoh mencabar dalam kariernya.
Anugerah Liga M Awards 2025/26 turut menyaksikan Haziq Kutty Abba dari Penang FC dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik, Melaka FC menerima Anugerah Fair Play, manakala Ramadhan Saifullah Usman dari Kuching City FC memenangi Anugerah Gol Terbaik Liga Malaysia.
Senarai pemenang Liga M Awards 2025/26:
- Penjaga Gol Terbaik – Syihan Hazmi Mohamed (JDT)
- Pertahanan Terbaik – Quentin Cheng (Selangor FC)
- Pemain Tengah Terbaik – Muhammad Afiq Fazail (JDT)
- Penyerang Terbaik – Faisal Abdul Halim (Selangor FC)
- Jurulatih Terbaik – Xisco Munoz (JDT)
- Pemain Import Terbaik – Bergson da Silva (JDT)
- Pemain Muda Terbaik – Haziq Kutty Abba (Penang FC)
- Pemain Paling Bernilai (MVP) – Muhammad Afiq Fazail (JDT)
- Anugerah Fair Play – Melaka FC
- Pasukan Terbaik – JDT
- Gol Terbaik Liga Malaysia – Ramadhan Saifullah Usman (Kuching City FC)
- Kasut Emas Liga Super – Bergson da Silva (JDT), 27 gol
- Kasut Emas Liga Super (Tempatan) – Safawi Rasid (KL City FC), 13 gol
- Penyokong Terbaik – Boys of Straits (JDT)
