NADI BANTU IBU BAPA BELI PAKAIAN SEKOLAH SECARA ANSURAN

NIBONG TEBAL – Inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menawarkan pembelian pakaian seragam sekolah secara ansuran disifatkan sebagai langkah praktikal bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya keluarga yang mempunyai ramai anak.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kemudahan itu memberi sedikit kelegaan kepada ibu bapa yang perlu menyediakan pelbagai kelengkapan persekolahan setiap kali sesi baharu bermula.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, isu pakaian seragam sekolah merupakan antara perkara yang sering menjadi perhatian dan permintaan ibu bapa, terutama ketika membuat persiapan persekolahan anak-anak.

“Saya melihat ini sebagai satu program atau projek yang sangat baik untuk rakyat dan saya berhasrat memberikan komitmen terhadap projek ini, khususnya bagi persiapan persekolahan tahun hadapan, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program MADANI Kita Bersama Komuniti Nibong Tebal di Simpang Ampat.

Menurutnya, pendekatan bayaran secara ansuran bukan sahaja memudahkan ibu bapa mendapatkan pakaian seragam, malah membantu mereka mengurus perbelanjaan persekolahan secara lebih teratur.

Inisiatif berkenaan turut memberi peluang kepada alumni NADI yang mengikuti kursus kemahiran jahitan menerusi Perkhidmatan Pintar NADI untuk menjana pendapatan sebagai usahawan.

Fadhlina berkata, pelaksanaan itu membuktikan NADI bukan sekadar menjadi pusat perkhidmatan kepada masyarakat, malah berperanan memperkasa komuniti melalui kemahiran dan peluang ekonomi.

Dalam pada itu, beliau turut memuji pelaksanaan NADI Tuisyen Rakyat yang menyediakan bimbingan pembelajaran secara percuma kepada pelajar, selain inisiatif NADI e-Sport yang memberi ruang kepada golongan muda menyertai aktiviti e-sukan.

Katanya, pelbagai program berkenaan menjadikan NADI sebagai jambatan penting antara kerajaan dengan rakyat dalam menyampaikan dasar, perkhidmatan serta aspirasi kerajaan kepada masyarakat setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *