Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 disifatkan sebagai titik perubahan penting dalam landskap politik negara.
Terutamanya apabila gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya menamatkan penguasaan PH selepas dua penggal mentadbir negeri itu.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh tujuh kerusi.
Di mana ia sekali gus melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.
Manakala PH pula hanya berjaya meraih 11 kerusi.
Selain menyaksikan kekalahan beberapa pemimpin utamanya termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun di DUN Linggi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook di DUN Chennah.
Ironinya, beberapa hari sebelum pengundian, Menteri Belia dan Sukan yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr. Muhammed Taufiq Johari menegaskan PKR kekal utuh walaupun berdepan tindakan beberapa pemimpin meninggalkan parti.
Beliau berkata, kekuatan PKR dibina melalui proses kaderisasi, pembentukan pemimpin pelapis serta politik berasaskan prestasi, bukannya bergantung kepada individu.
Menurutnya lagi, PH juga tidak melihat kemunculan parti baharu seperti Bersama sebagai ancaman besar.
Sebaliknya, yakin prestasi pentadbiran kerajaan Persekutuan akan terus menjadi sandaran utama untuk meraih sokongan rakyat.
Bagaimanapun, penganalisis politik berpendapat keputusan PRN Negeri Sembilan memberi tamparan besar kepada PKR.
Khususnya selepas kekalahan Aminuddin yang dianggap antara pemimpin Melayu paling menonjol dalam parti itu.
Ahli sains politik Universiti Malaya, Datuk Professor Dr Awang Azman Pawi berkata, keputusan tersebut mengukuhkan persepsi bahawa PKR semakin berdepan cabaran mendapatkan sokongan pengundi Melayu di kawasan luar bandar dan separa bandar.
Pada masa sama, ia dijangka mengukuhkan kedudukan UMNO dalam rundingan politik Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Sementara itu, penganalisis dari Universiti Tasmania, James Chin berpandangan kemenangan di Negeri Sembilan boleh meningkatkan tekanan politik terhadap kerajaan Persekutuan.
Ia termasuk membuka ruang kepada desakan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal sekiranya momentum kemenangan itu mahu diterjemahkan di peringkat nasional.
Dalam pada itu, walaupun tewas di peringkat negeri, penganalisis berpandangan Aminuddin masih mempunyai ruang untuk terus memainkan peranan dalam politik nasional.
Di mana beliau masih lagi kekal sebagai Ahli Parlimen Port Dickson.
Namun PKR kini berdepan cabaran untuk memperkukuhkan semula kepimpinan Melayu dan memulihkan keyakinan pengundi menjelang pilihan raya akan datang.
Selain itu, keputusan PRN Negeri Sembilan dijangka menjadi penanda aras kepada semua parti politik dalam merangka strategi dan pendekatan baharu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Sehubungan dengan itu, tumpuan kini beralih kepada kemampuan PH melakukan penstrukturan semula serta memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengembalikan sokongan rakyat.
JOMChannel turut berpandangan pimpinan utama PH perlu lebih serius mendengar keluhan ahli parti serta akar umbi parti.
Perkukuhkan semula penerangan dan komunikasi media parti serta gabungan parti demi memberikan kesan yang lebih menyeluruh dan berkesan In Shaa Allah.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=DhA9pl1_pxE&ra=m
