Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan hati terbuka.
Beliau turut berharap kepimpinan baharu negeri itu meneruskan segala dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, keutamaan kerajaan baharu ialah memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara serta pembangunan negeri diteruskan, di samping menambah baik kelemahan yang masih wujud.
Beliau turut menegaskan sepanjang lapan tahun menerajui pentadbiran negeri, pelbagai usaha telah dilakukan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat.
Namun beliau juga mengakui masih terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki.
Menurut Aminuddin lagi, kekalahan yang dialaminya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi tidak mengubah pendiriannya bahawa politik seharusnya berteraskan prestasi, dasar dan khidmat kepada rakyat, bukannya dipengaruhi sentimen perkauman.
Malah katanya, sepanjang kempen beliau turut membentangkan pencapaian pentadbiran kerajaan negeri sebagai asas untuk dinilai oleh pengundi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berkata, menang atau kalah merupakan lumrah demokrasi dan keputusan rakyat perlu dihormati serta diterima dengan penuh redha.
Malah, beliau bersyukur diberi peluang mentadbir Negeri Sembilan selama dua penggal sejak 2018 dan tidak pernah menyesal dengan pendekatan yang diambil sepanjang tempoh tersebut.
Dalam masa sama, Aminuddin turut berkata, 11 Ahli Dewan Undangan Negeri daripada PH akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif.
Terutamanya dengan memberi khidmat kepada rakyat, menyuarakan isu kepentingan awam serta memastikan semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri terus berfungsi.
Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, beliau berkata akan berehat seketika bagi meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga sebelum kembali aktif membantu parti.
Ia juga termasuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka menjadi tumpuan politik seterusnya.
Aminuddin turut berpesan agar Menteri Besar yang baharu mentadbir Negeri Sembilan dengan penuh amanah serta meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala pertimbangan lain.
Selain itu, beliau berharap segala dasar dan program yang terbukti memberi manfaat kepada rakyat diteruskan tanpa mengira perbezaan politik.
Tambahnya lagi, setiap kelemahan yang dikenal pasti sepanjang pentadbiran terdahulu perlu diperbaiki bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam menjadi lebih berkesan.
Beliau turut mengingatkan supaya agenda pembangunan negeri tidak terhenti demi menjamin pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Malah menurutnya, kebajikan rakyat perlu terus menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri.
Aminuddin juga berharap pentadbiran baharu dapat membawa Negeri Sembilan ke tahap yang lebih baik berbanding sebelumnya.
Beliau menegaskan kejayaan sesebuah kerajaan bukan hanya diukur melalui kemenangan politik.
Namun sebaliknya menerusi keupayaan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Pada masa sama, beliau berharap kerajaan baharu terus mengamalkan pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan berorientasikan prestasi.
Beliau yakin Negeri Sembilan akan terus maju sekiranya kepimpinan baharu mengekalkan perkara yang baik serta berani menambah baik aspek yang masih lemah.
Sementara itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan pilihan raya perlu dihormati sebagai manifestasi suara rakyat dalam sistem demokrasi.
Beliau berharap kerajaan negeri yang baharu dapat meneruskan segala dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat serta memastikan pembangunan Negeri Sembilan kekal menjadi keutamaan.
Menurut PMX lagi, Kerajaan Persekutuan akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan pentadbiran negeri bagi menjayakan agenda Pembangunan.
Di samping menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira perbezaan politik.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera PH yang telah bekerja keras sepanjang kempen serta menyifatkan perjuangan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat akan diteruskan.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=XV1l73v7rAs&ra=m
