Perdana Menteri mendedahkan FELDA yang suatu ketika dahulu muncul sebagai syarikat perladangan terbesar di dunia kini menanggung kerugian dan hutang hampir RM10 bilion akibat salah urus serta campur tangan politik yang berlebihan dalam pentadbirannya.
Menurutnya, laporan yang diterima selepas kembali menerajui pentadbiran negara menunjukkan kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan yang besar bagi memastikan agensi itu terus beroperasi dan memenuhi komitmen hutangnya.
Malah, kerajaan kini membayar kira-kira RM980 juta setahun bagi kos perkhidmatan hutang FELDA.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
PMX turut menjelaskan, FELDA pernah berada di kemuncak kejayaan ketika diterajui Allahyarham Tun Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali dan Allahyarham Tan Sri Taib Andak.
Sehinggakan menjadi organisasi perladangan terbesar di dunia yang menjana keuntungan berbilion ringgit setiap tahun serta memberikan pulangan lumayan kepada lebih 100,000 keluarga peneroka.
Bagaimanapun, beliau mendakwa keadaan mula berubah kira-kira tujuh hingga lapan tahun lalu susulan pertukaran kepimpinan dan campur tangan politik yang keterlaluan sehingga menjejaskan prestasi kewangan agensi berkenaan.
Menurutnya lagi, kemerosotan FELDA bukan berpunca daripada kegagalan peneroka bekerja keras.
Sebaliknya disebabkan individu yang diamanahkan menguruskan organisasi itu gagal melaksanakan tanggungjawab dengan berintegriti dan mengkhianati amanah yang diberikan.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan sebelum ini mengumumkan tujuh insentif khas sempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 FELDA.
Ia termasuk menyediakan geran RM990 juta bagi membiayai bayaran balik pinjaman sukuk serta penghapusan sebahagian hutang peneroka sebagai usaha memperkukuh kedudukan kewangan agensi itu.
Mengakhiri ucapannya, Ahli Parlimen Tambun itu mengingatkan generasi muda supaya mempertahankan keamanan negara dan memperkukuh institusi Raja-Raja Melayu.
Di samping memastikan kepimpinan negara terus berlandaskan integriti, amanah dan tadbir urus yang baik demi mengelakkan kesilapan sama berulang pada masa hadapan.
Tambahnya lagi, kemelut yang melanda FELDA menjadi pengajaran penting bahawa sesebuah institusi tidak boleh dipengaruhi kepentingan politik sehingga menjejaskan kecekapan pentadbiran dan masa depan organisasi.
Beliau turut menegaskan, pengurusan yang telus, berintegriti dan profesional merupakan asas utama untuk memastikan agensi strategik negara terus berkembang serta memberi manfaat kepada rakyat, khususnya warga peneroka.
Malah menurutnya, kerajaan komited melaksanakan proses pemulihan FELDA secara menyeluruh supaya agensi itu kembali kukuh dari segi kewangan.
18. Ia sekali gus mampu meningkatkan kesejahteraan peneroka dan generasi kedua serta ketiga FELDA.
Katanya yang juga Menteri Kewangan, segala langkah pemulihan yang dilaksanakan bukan sekadar menyelesaikan isu hutang.
Tetapi, ia juga bertujuan memastikan daya saing FELDA terus diperkasakan dalam industri perladangan yang semakin mencabar.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan bahawa setiap sen wang rakyat perlu diuruskan dengan penuh tanggungjawab.
Ini kerana sebarang ketirisan akhirnya akan memberi kesan kepada kerajaan dan rakyat yang terpaksa menanggung beban kewangan.
Beliau juga berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, rasuah atau penyelewengan yang boleh menjejaskan prestasi agensi milik kerajaan.
Usaha memperkukuhkan tadbir urus perlu diterapkan di semua peringkat pentadbiran bagi memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan pihak tertentu.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa golongan muda supaya mengambil iktibar daripada pengalaman FELDA dengan menjadikan nilai amanah, integriti dan akauntabiliti sebagai pegangan dalam melaksanakan tanggungjawab pada masa depan.
Perdana Menteri juga berkata, kejayaan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kekuatan ekonomi.
Malah turut dipengaruhi oleh kepimpinan yang jujur, cekap dan berani mempertahankan kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, PMX berharap usaha pemulihan yang sedang dilaksanakan akan membolehkan FELDA kembali menjadi institusi perladangan yang disegani.
Sekali gus mengembalikan kegemilangan agensi berkenaan sebagai pemacu
pembangunan sosioekonomi komuniti peneroka di seluruh negara.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=E09rFrp3Oxw&ra=m
