Perbezaan pendekatan ziarah membabitkan calon Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen selepas rakaman video kedua-dua situasi itu tular di media sosial.
Rakaman pertama memaparkan calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa menziarahi seorang warga emas yang terlantar sebelum meminta individu berkenaan mendoakan kemenangan gabungan PN bagi membentuk kerajaan negeri.
Tindakan itu mengundang kritikan sebahagian pengguna media sosial yang berpendapat kunjungan terhadap individu uzur tidak seharusnya dijadikan ruang untuk meraih sokongan politik.
Sebaliknya perlu lebih mengutamakan kebajikan dan empati terhadap keluarga.
Dalam masa sama, satu lagi rakaman memaparkan Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap calon PH bagi DUN Linggi, Dato’ Seri Aminuddin Harun atau Tok Min ketika menziarahi seorang ibu yang uzur turut mendapat perhatian ramai.
Beliau dilihat memberi kata-kata semangat kepada ahli keluarga dengan nada lembut.
Selain mengajak mereka bersabar dan mengakhiri kunjungan itu dengan memimpin bacaan doa bersama.
Pendekatan berhemah yang ditampilkan Tok Min menerima pujian ramai pengguna media sosial yang menyifatkan ia lebih menenangkan keluarga serta menghormati keadaan pesakit tanpa menyentuh soal politik.
Perkongsian kedua-dua rakaman itu turut mencetuskan perbincangan mengenai etika berkempen.
Di mana ramai berpandangan ziarah terhadap individu sakit atau uzur wajar menjadi medan menyampaikan sokongan moral dan ihsan, bukannya ruang mendapatkan sokongan politik.
Tambahan lagi, isu berkenaan terus hangat diperkatakan menjelang hari pengundian apabila masyarakat menilai bukan sahaja manifesto parti.
Malah keperibadian serta pendekatan calon ketika berinteraksi dengan rakyat.
Orang ramai turut mengingatkan semua calon agar menjaga adab dan sensitiviti ketika mengunjungi pesakit atau warga emas yang uzur.
Mereka berpandangan keadaan individu yang sedang sakit tidak seharusnya dijadikan medan untuk menyampaikan mesej politik atau meraih sokongan.
Sebaliknya, kunjungan seperti itu wajar dimanfaatkan bagi memberikan semangat, doa serta sokongan kepada ahli keluarga yang sedang berdepan ujian.
Dalam masa sama, ada juga pengguna media sosial yang berpendapat setiap calon berhak mendekati pengundi selagi dilakukan secara berhemah dan menghormati privasi penerima ziarah.
Sehubungan dengan itu, perkongsian video berkenaan terus mengundang pelbagai reaksi dengan sebahagian netizen membandingkan pendekatan kedua-dua calon.
Ramai menyifatkan nilai empati, kesopanan dan keikhlasan perlu menjadi keutamaan dalam setiap program ziarah tanpa mengira latar belakang politik.
JOMchannel turut berpandangan imej dan tingkah laku calon sepanjang tempoh berkempen mampu mempengaruhi persepsi pengundi terhadap parti yang diwakili.
Menjelang hari pengundian, setiap tindakan calon dijangka terus menjadi perhatian dan dinilai oleh rakyat melalui pelbagai platform media sosial.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=MPBOdZs1zlI&ra=m
