LIMA AHLI SINDIKET GORES DAN MENANG DICEKUP

IPOH: Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket penipuan ‘gores dan menang’ yang menyasarkan warga emas selepas menahan lima individu dalam serbuan berasingan di Melaka dan Selangor pada 19 Jun lalu, susulan dua kes penipuan yang menyebabkan kerugian keseluruhan RM77,600.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, semua suspek berusia antara 22 hingga 40 tahun itu ditahan hasil risikan dan maklumat yang diperoleh selepas dua wanita berusia 62 tahun membuat laporan polis.

Menurutnya, dalam kejadian pertama di sebuah pasar raya di Ipoh pada Oktober tahun lalu, mangsa dipujuk menyertai cabutan bertuah sebelum didakwa memenangi jongkong emas seberat 150 gram. Bagi menuntut hadiah tersebut, mangsa diminta menyerahkan barang kemas, kad ATM serta nombor PIN kononnya bagi tujuan pengesahan dan penerimaan hadiah wang tunai.

“Selepas memperoleh barangan berharga milik mangsa, suspek menghilangkan diri. Mangsa turut mendapati wang sebanyak RM600 telah dikeluarkan daripada akaun banknya, menjadikan jumlah kerugian kira-kira RM18,600,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini.

Beliau berkata, kes kedua berlaku di Taiping pada 14 Jun lalu apabila seorang lagi wanita dipanggil untuk mengambil hamper cabutan bertuah sebelum dipujuk menaiki sebuah kenderaan dan diminta memusing roda cabutan bertuah menggunakan tablet.

Mangsa kemudian dimaklumkan memenangi jongkong emas seberat 100 gram yang sebenarnya palsu sebelum dipujuk menyerahkan rantai leher, anting-anting dan pelbagai barang kemas lain bagi melayakkannya menerima hadiah berkenaan. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM59,000.

Dalam serbuan yang dijalankan, polis merampas sembilan telefon bimbit, kad SIM, sebuah tablet, 16 keping baucar cabutan bertuah, pakaian, kasut serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan ketika menjalankan kegiatan penipuan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10,000.

Mohd. Alwi berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula 20 hingga 23 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran cabutan bertuah atau hadiah lumayan yang memerlukan penyerahan wang, barang kemas, kad bank atau maklumat sulit, sebaliknya segera membuat semakan dengan pihak berkuasa sekiranya menerima tawaran yang mencurigakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *