‘PENYATUAN UMAT’ MEMBISU APABILA PENYELEWENGAN TABUNG HAJI DIDEDAHKAN

1. Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bahawa berlaku salah tadbir urus dan wujud unsur penyelewengan dalam pengurusan Tabung Haji dari tahun 2014 sehingga 2020 adalah sangat menyedihkan bagi umat Melayu Islam dalam negara ini. Ini adalah kerana Tabung Haji adalah milik orang Melayu Islam yang bekerja keras mencari rezeki untuk menyimpan wang dan Tabung Haji juga adalah syarikat milik Melayu Islam yang cukup maju di dalam dunia. Kebanggaan umat Melayu Islam kini luntur akibat perbuatan segelintir orang Melayu Islam sendiri.

2. Malangnya, ‘penyatuan umat’ membisu dan gagal bersuara membela Tabung Haji dan menentang perlakuan salah pengurusan Tabung Haji ketika pemerintahan Umno dahulu. Jelas sekali ‘penyatuan umat’ adalah untuk meraih kuasa dan bukannya membela Melayu dan mengangkat martabat Islam. Islam melarang penyelewengan, tetapi ia bukan perjuangan ‘penyatuan umat’.

3. Merujuk Laporan RCI tersebut, pemulihan Tabung Haji dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan mengiktiraf pelan pemulihan tersebut. Ketika itu, Menteri Kewangan adalah Lim Guan Eng daripada DAP. Saya menyeru orang Melayu untuk menilai agenda penyatuan umat yang hanya memainkan isu perkauman sedangkan soal penyelewengan tidak mengenal kaum.

4. Walaupun ada ahli politik yang cuba mengalihkan perhatian umum dengan mengatakan bahawa Laporan RCI tersebut tidak mendedahkan perlakuan jenayah secara khusus, namun jelas dinyatakan di dalam Laporan tersebut berlaku kerugian pelaburan oleh beberapa anak syarikat Tabung Haji yang memerlukan siasatan lanjut oleh pihak Polis dan SPRM yang menunjukkan wujud unsur-unsur jenayah. RCI tidak mempunyai bidang kuasa bagi mengenalpasti bentuk kesalahan jenayah secara khusus dan siapakah pelakunya. Perkara ini adalah dalam bidang kuasa Polis dan SPRM. Justeru, siasatan mendalam dan segera perlu diambil Polis dan SPRM supaya keyakinan orang Melayu Islam kepada Tabung Haji dapat dipulihkan.

Faiz Fadzil

30 Julai, 2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *