Kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengaitkan perjuangan menerusi parti itu dengan peluang mendapat syurga terus mencetuskan kritikan pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Terbaharu, ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim menegaskan syurga adalah milik Allah SWT dan bukannya janji mana-mana pemimpin atau parti politik.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Kelantan itu berkata, tiada parti politik berhak mendakwa dirinya sebagai pintu ke syurga kerana PAS sendiri adalah sebuah organisasi politik yang dibentuk manusia.

Beliau turut mengingatkan bahawa penilaian seseorang di sisi Allah SWT bukan berdasarkan keahlian atau sokongan kepada mana-mana parti.

Namun sebaliknya berkait dengan iman, ketakwaan, keikhlasan dan amal soleh.

Teguran itu menyusul selepas kenyataan Takiyuddin pada Ceramah Perdana Sambutan Jubli Intan 75 Tahun PAS di Kota Bharu pada 4 September lalu.

Di mana beliau berkata, perjuangan mempertahankan Islam sehingga mati boleh membawa seseorang kepada syahid dan syurga.

Takiyuddin turut menjelaskan bahawa PAS sememangnya sebuah pertubuhan politik, namun perjuangannya berteraskan Islam.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa menyertai PAS, menerima Islam serta berjuang di atas landasan Islam, Insya-Allah boleh membawa seseorang ke syurga.

Bagaimanapun, Naib Presiden AMANAH, Dato’ Mahfuz Omar melihat kenyataan sedemikian sebagai perkara yang perlu ditegur.

Ini kerana PAS tidak pernah diberi mandat oleh Allah SWT untuk menentukan siapa yang akan masuk syurga.

Beliau secara sinis menyifatkan pejabat PAS bukan “pejabat imigresen akhirat” untuk mendapatkan visa syurga. 

Malah menurut Mahfuz lagi, PAS berhak meminta rakyat menyokong atau mengundi parti itu.

Namun soal syurga bukan sesuatu yang boleh ditentukan oleh mana-mana parti politik.

Dalam pada itu, Dr Hafidzah turut memberi amaran bahawa penggunaan isu syurga dalam politik berpotensi mengelirukan masyarakat.

Di samping menyuburkan ketaksuban sehingga wujud persepsi bahawa mereka yang tidak bersama PAS seolah-olah kurang Islam atau terpinggir daripada rahmat Allah.

Beliau menegaskan perjuangan Islam bukan hak eksklusif PAS dan beliau menggesa semua parti bersaing melalui dasar, hujah serta khidmat kepada rakyat.

Pertikaian terbaru itu memperlihatkan isu agama sekali lagi menjadi medan pertembungan naratif politik.

Khususnya ketika parti-parti politik mula memperkukuh persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Namun, bagi rakyat, persaingan politik tidak seharusnya terhenti pada soal siapa paling Islam atau siapa paling berhak membawa imej agama.

Sebaliknya, ukuran yang lebih penting ialah kemampuan sesebuah kerajaan menyelesaikan masalah sebenar rakyat.

Antaranya termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan pengukuhan ekonomi.

Dalam konteks pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tumpuan juga dijangka terarah kepada Belanjawan 2027 sebagai antara medan penting untuk kerajaan membuktikan keberkesanan dasar serta keutamaan terhadap kebajikan rakyat.

Keupayaan kerajaan memastikan bantuan sampai kepada golongan memerlukan, memperkukuh ekonomi dan menangani tekanan kos sara hidup dijangka menjadi antara ukuran utama prestasi pentadbiran.

Pada akhirnya, rakyat mempunyai hak untuk menilai parti berdasarkan rekod, dasar dan kemampuan mentadbir negara.

Bukannya semata-mata pada retorik politik atau janji mengenai ganjaran di akhirat.

Syurga milik Allah, manakala mandat memerintah negara ditentukan rakyat melalui pilihan raya.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=VOL1PXyc-D4&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *