Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagitempoh 2014 hingga 2020 kini memasuki fasa penting.
Terutamanya apabila polis telah merakam keterangan 134 saksi bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan salah laku dan kelemahan tadbir urus institusi berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Dato’ Rusdi Mohd Isa berkata, 10 saksi terbaharu dipanggil.
Ia termasuk individu yang pernah memberikan keterangan sebelum ini serta mereka yang mempunyai kaitan dengan pengurusan dan struktur organisasi TH.
Katanya, saksi yang dipanggil merangkumi kakitangan dalaman, pemegang amanah, ahli lembaga pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Kewangan(CFO).
Manakala individu lain tidak ditolak daripada dipanggil sekiranya diperlukan berdasarkan perkembangan siasatan.
Setakat ini, polis menerima sembilan laporan berkaitan isu berkenaan dan telah membuka lima kertas siasatan.
Termasuk satu di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.
Siasatan turut dijalankan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Dalam perkembangan sama, polis turut mendapatkan keterangan 14 saksi di Indonesia berkaitan dua kertas siasatan.
Khususnya berhubung urusan pembelian dan penjualan saham serta syarikat berkaitan TH.
Permohonan mendapatkan keterangan berkenaan telah dibuat melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Tidak kira sama ada saksi hadir ke Malaysia atau keterangan diperoleh melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa siasatan tidak hanya tertumpu kepada pegawai bawahan.
Sebaliknya turut merangkumi barisan pengurusan tertinggi yang mengendalikan TH dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata, jika terdapat bukti kesalahan, pihak bertanggungjawab perlu didakwa supaya laporan RCI tidak berakhir tanpa tindakan.
Hassan turut membangkitkan dakwaan mengenai perbezaan kedudukan kewangan TH berdasarkan laporan kewangan 2017 serta persoalan pembayaran hibah ketika institusi itu berdepan tekanan kewangan.
Dalam pada itu, beliau turut meminta Jabatan Peguam Negara meneliti kemungkinan kesalahan di bawah peruntukan Kanun Keseksaan berkaitan pemalsuan akaun dan pecah amanah jenayah.
Pada masa sama, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, pendedahan laporan RCI perlu dilihat sebagai ruang untuk rakyat memahami secara menyeluruh kelemahan tadbir urus TH dan bukannya sekadar dijadikan polemik politik.
Ini kerana, menurutnya, RCI bukan badan pendakwaan untuk menentukan seseorang bersalah.
Sebaliknya menjalankan siasatan sebelum dapatan dan syor diserahkan kepada kerajaan, manakala tindakan jenayah menjadi bidang kuasa agensi penguat kuasa.
Laporan RCI setebal 211 halaman itu dikatakan mengemukakan 25 syor penambahbaikan selepas menemukan antara lain kelemahan tadbir urus, jurang defisit antara aset dengan liabiliti, isu rosot nilai pelaburan, transaksi mencurigakan dan dakwaan penyembunyian maklumat.
Untuk rekod, laporan yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Ogos 2022 itu kemudian diklasifikasikan semula sebelum didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.
Dengan siasatan polis masih berjalan, persoalan utama kini bukan sekadar siapa yang disebut atau dipanggil untuk memberi keterangan.
Tetapi sama ada segala dapatan RCI dapat diterjemahkan kepada tindakan undang-undang dan pembaikan menyeluruh terhadap tadbir urus TH.
Justeru, perkembangan seterusnya dijangka menjadi penentu sama ada isu yang menyentuh kepentingan jutaan pendeposit itubenar-benar menemui noktah atau terus menjadi polemik berpanjangan.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=R4UrsU_HeQI&pp=0gcJCfkLAYcqIYzv&ra=m
