Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa Kerajaan MADANI tidak tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Sebaliknya meneruskan pentadbiran sehingga tamat tempoh mandat bagi memberi ruang kepada pemulihan sokongan rakyat terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH).
Menerusi hantaran bertajuk “DON’T CRY PKR, Dunia Belum Kiamat” di Facebooknya, beliau berkata Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu diyakinkan supaya tidak membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.
Walaupun PKR berdepan kekalahan dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut Hassan, strategi terbaik ialah membenarkan Kerajaan MADANI mentadbir sehingga penghujung 2027 atau awal 2028 agar pelbagai dasar serta agenda ekonomi kerajaan dapat dilaksanakan sepenuhnya dan hasilnya dirasai rakyat.
Beliau turut berkata, PKR juga memerlukan masa untuk menilai semula prestasi parti, memperkukuh organisasi serta menyusun strategi yang lebih berkesan sebelum berdepan PRU16.
Malah katanya lagi, kekalahan berturut-turut di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan boleh memberi kesan kepada moral anggota serta penyokong parti sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat.
“Yakinkan pemimpin kita, Anwar Ibrahim supaya jangan mudah melatah.
“Beritahu Anwar supaya jangan adakan PRU16 dalam waktu terdekat ini.
“Beri semangat kepada Anwar supaya tadbir kerajaan pusat baik-baik sehingga tempoh mandat penuh, iaitu akhir 2027 atau awal 2028,” katanya.
Tambahan lagi, katanya, dari sudut strategi politik, tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang boleh dimanfaatkan.
Antaranya bagi memperkukuh ekonomi negara, menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi kerajaan.
Hassan juga berkata, apabila rakyat mula menikmati manfaat dasar ekonomi dan melihat keadaan ekonomi negara semakin kukuh.
Ketika itulah pembubaran Parlimen boleh dipertimbangkan bagi memberi kelebihan kepada kerajaan.
Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong PKR supaya tidak menjadikan keputusan beberapa pilihan raya negeri sebagai petanda berakhirnya perjuangan parti.
Sebaliknya, beliau menyeru semua pihak berehat seketika selepas selesai berkempen sebelum kembali menyusun strategi dan memperkukuh jentera parti di semua peringkat.
Malah tambahnya lagi, kekalahan dalam pilihan raya bukan penamat kepada perjuangan.
Sebaliknya perlu dijadikan iktibar untuk memperbaiki kelemahan serta memperkukuhkan hubungan dengan rakyat.
Selain itu, Hassan turut berpandangan bahawa sentimen pengundi lazimnya berubah mengikut keadaan semasa.
Justeru, beliau yakin masih ada ruang untuk PKR dan PH memulihkan sokongan sekiranya pentadbiran kerajaan terus menunjukkan prestasi yang baik.
Katanya lagi, kerajaan perlu terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, mengawal kos sara hidup serta mempercepat pelaksanaan dasar yang memberi manfaat secara langsung.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan PKR perlu kekal bersemangat dan tidak mudah berputus asa walaupun berdepan cabaran politik ketika ini.
“Jangan menangis PKR.
“Anda parti reformasi. Malu jika menangis.
“Kita orang perjuangan.
“Kita berani berjuang, berani menang dan berani kena tendang,” ujarnya lagi.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=VTiD5CrE3y4&ra=m
