PMX YAKIN MANDAT KUKUH MAMPU TERUSKAN AGENDA RAKYAT

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat Negeri Sembilan supaya memberikan mandat yang lebih kukuh kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ia bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri yang disifatkan bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Menerusi kenyataan di media sosial, PMX berkata, pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan telah dilaksanakan sejak PH mentadbir Negeri Sembilan pada 2018. 

Namun menurut beliau, masih banyak agenda yang perlu diteruskan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh seluruh rakyat negeri itu.

Beliau turut menegaskan bahawa mandat yang lebih kukuh akan membolehkan kerajaan negeri meneruskan dasar pembangunan, memperkukuh ekonomi, memperluas peluang pekerjaan serta meningkatkan kebajikan rakyat tanpa gangguan ketidaktentuan politik.

Dalam masa sama, PMX mendoakan agar semua calon PH yang bertanding diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kejayaan sepanjang menghadapi kempen pilihan raya. 

Beliau turut menyeru masyarakat mengamalkan semangat saling membantu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan sebagaimana yang dianjurkan dalam Surah al-Ma’idah ayat kedua.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 103 calon bertanding pada PRN Negeri Sembilan ke-16 bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

PH menjadi satu-satunya gabungan yang bertanding di semua 36 kerusi.

Manakala Barisan Nasional (BN) meletakkan 25 calon, Bersatu 24 calon dan Perikatan Nasional (PN) 11 calon.

Selain penyertaan BERJASA, Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta empat calon Bebas.

Untuk rekod, PRN Negeri Sembilan diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 5 Jun lalu.

Di mana hari pengundian awal ditetapkan pada 28 Julai, manakala pengundian penuh berlangsung pada 1 Ogos.

Ia melibatkan seramai 889,490 pemilih yang layak menunaikan tanggungjawab mereka. 

Pilihan raya kali ini dijangka menjadi medan penting untuk menentukan hala tuju pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi PH itu turut menegaskan bahawa setiap calon yang bertanding membawa aspirasi untuk berkhidmat kepada rakyat.

Tambahan lagi, beliau turut berharap proses demokrasi berlangsung dalam suasana matang serta harmoni. 

Beliau juga berkata, PH akan terus menawarkan kepimpinan yang mengutamakan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan. 

Malah menurutnya, rekod pentadbiran yang berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik menjadi asas keyakinan untuk meneruskan agenda pembangunan. 

Di samping itu, beliau menyeru rakyat membuat pilihan berdasarkan prestasi, kemampuan dan perancangan masa depan demi memastikan kemajuan yang berterusan. 

Ini kerana Presiden PKR itu yakin sokongan padu daripada rakyat mampu memperkukuh usaha membina sebuah pentadbiran yang lebih makmur, inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=u-AAAqoUr_4&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *