PMX SAHUT SERUAN SULTAN NAZRIN SHAH

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyahut seruan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya prinsip syura (musyawarah) dan adab dijadikan pedoman dalam kehidupan umat Islam, khususnya ketika berdepan perbezaan pandangan dan pertembungan idea.

Beliau berkata, titah Sultan Nazrin pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) amat mendalam dan penuh hikmah, malah wajar difahami serta disebarluaskan kepada masyarakat.

Menurut PMX, syura bukan sekadar membawa pengertian demokrasi, sebaliknya merangkumi perundingan yang memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan sebelum sesuatu keputusan dibuat, diikuti dengan tawakal kepada Allah SWT.

“Musyawarah itu bukan saja demokrasi dalam erti kata fahaman yang ditunjukkan di barat.

“Tetapi fahaman yang membawa erti perundingan, kesabaran, kebijaksanaan…

“Dan kemudian berunding dan akhirnya tawakal kepada Allah SWT,” katanya dalam ucapan pada mesyuarat MKI pada Selasa.

Tambahnya yang juga Menteri Kewangan, penekanan Sultan Nazrin terhadap adab juga mempunyai makna yang luas kerana ia bukan sahaja berkaitan tingkah laku.

Malah merangkumi pendidikan, proses pembelajaran, perundingan dan hubungan sesama manusia.

Terdahulu, Sultan Nazrin bertitah bahawa budaya syura dan adab perlu diperkukuh dalam keluarga, institusi pendidikan, organisasi, masjid, pentadbiran serta seluruh Masyarakat.

Terutamanya bagi memastikan perbezaan pandangan dapat diurus dengan ilmu, kesabaran dan rasa hormat.

Sultan Nazrin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah bahawa syura membuka ruang untuk pelbagai pandangan disuarakan.

Manakala adab memastikan perbezaan tersebut diurus dengan penuh hormat, tertib, sopan dan bijaksana.

Sementara itu, PMX berkata, pemikiran Profesor Dr Syed Naquib Al-Attas turut mengaitkan konsep adab dengan pembentukan peradaban.

Justeru, penghayatan nilai itu mampu menyumbang kepada pembinaan masyarakat dan tamadun yang baik.

“Pendidikan itu juga adab…perundingan, mendidik, belajar, hubungan satu sama lain.

“Jadi bukan saja dalam pengertian yang terbatas,” ujarnya lagi dipetik Media Perpaduan.

Menurutnya, penekanan terhadap syura dan adab amat bertepatan dengan keadaan semasa apabila berlaku pertembungan idea dalam kalangan umat Islam.

Antaranya termasuk dalam perbincangan mengenai agama dan masyarakat.

Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata, prinsip itu perlu menjadi pedoman semua pihak, termasuk kerajaan, pembangkang dan mereka yang terlibat dalam dakwah.

Selain itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyentuh keperluan umat Islam memperkukuh kefahaman agama dengan kembali mengkaji khazanah turath atau legasi keilmuan Islam yang telah berkembang sejak sekian lama.

“Kita perlukan al-Quran dan hadis tetapi kupasan oleh orang-orang muktabar itu agak tidak mendalam,” jelasnya.

Malah tegasnya lagi, tafsiran terhadap al-Quran dan hadis perlu disertai pemahaman mendalam.

Antaranya termasuk merujuk kepada tafsir serta pandangan ulama yang muktabar supaya ajaran agama dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan.

Perdana Menteri turut memetik pandangan bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab yang menekankan kepentingan mempelajari agama berasaskan ilmu mendalam serta merujuk kepada ulama besar yang diiktiraf.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, satu cadangan yang telah disampaikan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ialah supaya usaha mengkaji Islam diteruskan dengan memperbanyakkan majlis ilmu, termasuk yang mengangkat khazanah turath.

PMX turut berkata, kelemahan dalam menggali dan memahami khazanah intelektual Islam bukan hanya berlaku di Malaysia, malah merupakan isu yang turut dihadapi umat Islam di seluruh dunia.

Pemutusan hubungan dengan legasi keilmuan juga pernah menjadi kritikan dalam kalangan pemikir Barat, yang melihatnya sebagai kelemahan apabila pandangan baharu dikemukakan tanpa merujuk kepada warisan pemikiran terdahulu.

“Kalau terputus hanya kerana pakar-pakar baharu memberi tafsiran dan pandangan tanpa merujuk kepada legasi mereka, ia merugikan kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menggesa agar JAKIM terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kefahaman agama dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan muda dan Orang Asli.

Sehubungan dengan itu, seruan Sultan Nazrin mengenai syura dan adab perlu diterjemahkan dalam pemahaman serta amalan umat Islam supaya kedua-dua prinsip itu menjadi sebahagian daripada pedoman dalam kehidupan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut berharap JAKIM dapat menyebarluaskan titah Sultan Nazrin berhubung perkara itu kepada masyarakat kerana ia mengandungi panduan yang penting untuk umat Islam.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=QtvQ5UHspUI&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *