PERANG DAGANG AS-KANADA MEMUNCAK, TARIF 50 PERATUS DIKENAKAN

WASHINGTON – Perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan Kanada memasuki fasa lebih tegang selepas rundingan kedua-dua negara gagal mencapai kesepakatan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap ekonomi dan rantaian bekalan Amerika Utara.

Pentadbiran Presiden Donald Trump memberi amaran Kanada bakal berdepan kesan lebih buruk sekiranya meneruskan tindakan balas terhadap tarif AS.

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy berkata, adalah tidak bijak untuk Kanada menganggap negara itu mampu memenangi perang dagang dengan AS, memandangkan Washington merupakan pasaran utama eksport Kanada.

Kegagalan rundingan pada Jumaat lalu menyebabkan tarif baharu AS sebanyak 50 peratusterhadap kira-kira AS$20 bilion (RM80.84 bilion) barangan Kanada mula berkuat kuasa.

Kanada bagaimanapun tidak berdiam diri apabila Perdana Menteri Mark Carney mengumumkan tarif balas terhadap barangan AS, khususnya sektor keluli dan tenusu, yang dijadual berkuat kuasa pada 8 September.

Carney menegaskan Kanada tidak akan tunduk kepada tekanan Washington dan menyifatkan tindakan AS sebagai serangan terhadap kepentingan ekonominya.

Pada masa sama, kerajaan Kanada dilaporkan sedang menyediakan pakej bantuan domestik bagi membantu syarikat yang terjejas akibat tarif AS, termasuk kemungkinan meneruskan sokongan sepanjang konflik perdagangan itu.

Penganalisis dasar perdagangan, Deborah Elms berkata, perang tarif timbal balik tidak akan menghasilkan pemenang kerana pengguna dan syarikat di kedua-dua negara akhirnya menanggung peningkatan kos.

Ketegangan itu turut membimbangkan negara-negara Asia yang mempunyai hubungan perdagangan dengan AS kerana perkembangan berkenaan berpotensi memberi kesan kepada rantaian bekalan global serta dasar perdagangan negara ketiga.

Konflik perdagangan antara dua sekutu ekonomi itu kini menguji hubungan dagang Amerika Utara, selain meningkatkan risiko kenaikan kos kepada perniagaan dan pengguna sekiranya pertikaian berlarutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *