HELLO KITTY PERLUAS EMPAYAR KE DUNIA PERMAINAN VIDEO


TOKYO:
 Sanrio, syarikat di sebalik watak ikonik Hello Kitty, mengumumkan pelancaran divisyen permainan video sendiri sebagai langkah strategik untuk menarik peminat baharu dan mengukuhkan pengaruh globalnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tomokuni Tsuji, berkata syarikat itu menyasarkan penghasilan 10 permainan asli dalam tempoh tiga tahun, dengan pelaburan mencecah 10 bilion yen. 

Menurut beliau, industri permainan video yang semakin berkembang pesat membuka peluang besar untuk Sanrio memperluaskan capaian jenamanya.

Permainan pertama yang diberi judul Sanrio Party Land dijangka dilancarkan untuk konsol Nintendo Switch dan generasi seterusnya menjelang musim luruh. Permainan berkonsepkan parti itu akan menampilkan lebih 45 permainan mini serta lebih 145 watak popular termasuk Cinnamoroll dan Kuromi.

Langkah ini menandakan perubahan penting dalam strategi Sanrio yang sebelum ini hanya bergantung kepada pembangun pihak ketiga bagi menghasilkan permainan video. 

Melalui pembangunan dalaman, syarikat itu kini berusaha mendekati segmen baharu termasuk kanak-kanak lelaki dan golongan dewasa.

Sejak diperkenalkan pada era 1970-an, Hello Kitty muncul sebagai simbol budaya ‘kawaii’ Jepun dan berkembang menjadi fenomena global, dengan kehadiran dalam pelbagai produk serta kerjasama bersama jenama antarabangsa seperti Adidas dan Balenciaga.

Fenomena tersebut dijangka terus berkembang dengan sebuah filem terbitan Warner Bros. yang dijadualkan ditayangkan pada 2028, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Hello Kitty dalam industri hiburan global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *