“Perdana Menteri datang dan pergi tetapi negara mesti diselamatkan.”

Ungkapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu menjadi antara petikan yang menarik perhatian netizen selepas beliau tampil dalam rancangan podcast SembangOhhYeahh.

Beliau memberikan penegasan itu ketika beliau mengulas mengenai usaha memerangi rasuah, menegakkan negara hukum dan memastikan kepentingan negara mengatasi kedudukan seseorang pemimpin.

PMX berkata, beliau sedar jawatan Perdana Menteri bukan sesuatu yang kekal, namun apa yang lebih penting ialah memastikan negara tidak kembali kepada perkauman, rasuah dan penyelewengan.

“Perdana Menteri datang dan pergi. Saya insaf tentang itu tetapi negara mesti diselamatkan.

“Jangan izinkan kita balik dengan sikap benci kepada kaum dan lebih mudah menerima rasuah dan penyelewengan.

“Negara ini ada kekuatan. Jangan rosakkan. Itulah harapan saya,” tegasnya dipetik Harapan Daily.

Beliau berkata demikian ketika perbincangan menyentuh pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat bulan lalu.

Mengulas mengenai gesaan supaya siasatan tidak hanya tertumpu kepada tempoh sehingga 2020, PMX berkata beliau tidak mempunyai masalah sekiranya penelitian diteruskan kepada tahun-tahun berikutnya, termasuk tempoh pentadbirannya.

“Jangan berhenti setakat 2020. Tanya juga apa yang berlaku pada tahun 2021, 2022, 2023, 2024 semasa saya menjadi Perdana Menteri.

“Saya kata, silakan. Kita kalau tak curi wang, kita tak takut. Siasatlah banyak mana pun,” tegasnya lagi.

Perdana Menteri turut menolak pandangan bahawa pembentangan laporan berkenaan tidak sepatutnya dilakukan kerana waktunya hampir dengan beberapa pilihan raya.

Ini kerana menurutnya, jika pertimbangan pilihan raya dijadikan alasan, pembentangan sesuatu perkara berkepentingan awam boleh terus tertangguh kerana negara sentiasa berdepan kitaran pilihan raya negeri dan pilihan raya umum.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) pada masa sama menegaskan bahawa sesuatu kes akhirnya perlu diputuskan berdasarkan fakta dan proses kehakiman, bukannya tuduhan yang berlegar di media sosial.

“Bila pergi ke mahkamah, keputusan hakim itu diputuskan berdasarkan fakta bukannya seperti tuduhan di media sosial,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan tidak mahu usaha membanteras penyelewengan bertukar menjadi tindakan menzalimi mana-mana individu.

Ahli Parlimen Tambun itu mengaitkan pendirian itu dengan pengalaman peribadinya berdepan pemenjaraan dan berkata prinsip keadilan perlu terpakai kepada semua lapisan masyarakat.

“Saya tidak mahu terlibat dalam apa-apa langkah yang menzalimi orang lain kerana saya tahu harga dizalimi, puluhan tahun meringkuk di penjara.

“Saya tidak mahu itu berlaku kepada sesiapa, bukan sahaja orang besar, malah rakyat yang paling miskin sekalipun.

“Itu baru betul negara hukum,” ujar Presiden PKR berkenaan lagi.

“Selepas (pilihan raya negeri) Negeri Sembilan, Melaka, kemudian Sarawak. Selepas itu kita kena bersiap pilihan raya umum. Jadi, jangan bentang?

“Tak boleh. Harus ada keputusan. Orang yang tak salah tidak akan disabitkan,” katanya.

Dalam podcast sama, Perdana Menteri mengakui pentadbirannya tidak terlepas daripada teguran dan masih mempunyai kekurangan yang boleh diperbaiki.

Malah menurutnya lagi, keterbukaan itu turut diterjemahkan melalui kesediaannya berdialog dengan golongan mahasiswa di universiti.

“Saya banyak ditegur. Saya Perdana Menteri paling banyak turun ke universiti berdialog dengan pelajar.

“Saya boleh perbaiki kekurangan tetapi saya ingin merayu jangan izinkan negara ini dihampakan oleh gerombolan yang mempunyai kepentingan yang akan merosakkan kekuatan sendi kita,” tegasnya lagi.

Nahh! Kini Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri tampil untuk bersuara dan menjawab persoalan serta fitnah yang kini makin berlegar di media sosial.

Harap-harapnya penjelasan yang diberikan oleh tuan badan sendiri dapat membuka mata, minda dan hati kalian untuk meneliti serta bertabayyun sebelum mula memaki hamun tanpa asas atau fakta.

Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=_6jfBed75gA&pp=0gcJCSQMAYcqIYzv&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *