MADANI TERKINI | PRU NEGERI SEMBILAN: MANDAT DARI RAKYAT BUKAN UNTUK ANGKAT INDIVIDU

Mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri Sembilan 1 Ogos ini bukan untuk mengangkat mana-mana individu, sebaliknya memastikan segala perancangan dapat disempurnakan, kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH itu berkata, kesinambungan kepimpinan yang stabil penting ketika Negeri Sembilan berada pada landasan baik.

Khususnya untuk meneruskan pembangunan, menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjaga kebajikan rakyat.

“Mandat itu bukan untuk mengangkat mana-mana individu, tetapi untuk memastikan segala perancangan yang telah dimulakan dapat disempurnakan demi kesejahteraan rakyat, anak-anak kita dan generasi akan datang,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Seri Aminuddin Harun, yang disifatkannya sebagai seorang Menteri Besar yang mengutamakan amanah, kerja dan kebajikan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

“Beliau tidak banyak berbicara soal dirinya, sebaliknya memberi tumpuan kepada kerja dan kebajikan rakyat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Aminuddin akan bertanding di DUN Linggi, yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson yang diwakilinya sebagai Ahli Parlimen.

Beliau sebelum ini menjadi ADUN Sikamat dalam parlimen Seremban sejak 2008 dan mempertahankannya selama empat penggal berturut-turut.

Dalam pada itu, PMX juga menjelaskan, keserasian antara kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini turut membolehkan pelbagai projek serta inisiatif dilaksanakan dengan lebih lancar.

Menurutnya lagi, Negeri Sembilan memerlukan kerajaan yang bersih dan berwibawa bagi memastikan momentum pembangunan negeri tidak terjejas.

Justeru, beliau merayu pengundi tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang supaya memberi mandat kepada PH untuk meneruskan pentadbiran negeri.

PRU Negeri Sembilan akan berlangsung pada 1 Ogos, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu dan pengundian awal pada 28 Julai.

Sehubungan dengan itu, PH akan bertanding di semua 36 kerusi DUN, dengan KEADILAN diperuntukkan 16 kerusi, DAP 11 dan Amanah sembilan.

Untuk rekod, pada PRU Negeri Sembilan 2023, PH memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) 14 dan Perikatan Nasional (PN) lima.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=vXDTXUPBU-U&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *