MADANI TERKINI | PERTANDINGAN BAHAS PIALA PERDANA MENTERI MEDAN UJI KEBERANIAN, PERTAJAM ILMU

Warisan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein semasa menjadi Perdana Menteri Kedua menerusi pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri (PPM) menjadi gelanggang para pelajar menguji keberanian, mempertajam ilmu dan mengasah keupayaan berhujah.

Perkara tersebut dikongsikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di media sosial setelah meluangkan masa meraikan peserta PPM Edisi Ke-51 peringkat akhir yang berlangsung di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya hari ini.

Usia pertandingan selama lebih lima dekad itu dilihat mampu mencungkil pemikiran kritis pelajar sekolah menengah menerusi pembacaan luas serta meneliti fakta dan statistik bagi menguatkan hujah masing-masing.

“Usai Mesyuarat Jemaah Menteri, saya berkesempatan meraikan peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Edisi Ke-51 yang akan berlangsung esok di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

“Lebih daripada sekadar pertandingan, ia menjadi ruang untuk anak-anak muda belajar menyusun fikiran, mempertahankan pendirian dan pada masa sama menghormati pandangan yang berbeza.

“Saya kagum melihat anak-anak ini begitu peka terhadap perkembangan semasa, berani mengemukakan persoalan dan kritis dalam menilai pelbagai isu,” katanya dipetik Harapan Madani.

Tambahan lagi, PMX turut berpesan kepada para peserta agar berbahas dengan tegas tetapi penuh adab, selain berhujah tanpa membenci dan berbeza pandangan tanpa bermusuhan.

“Demokrasi yang sihat bukan sekadar keberanian untuk bersuara, tetapi juga kesediaan untuk mendengar dan menghormati perbezaan.

“Selamat berbahas,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, pertandingan akhir bagi Kategori Bahasa Melayu bakal menyaksikan SM Sains Selangor, Kuala Lumpur berdepan SM Sains Alam Shah, Putrajaya.

Manakala Kategori Bahasa Inggeris akan melihat keupayaan pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya berentap dengan SM Sains Miri, Sarawak.

Dalam pada itu, antara Sekolah Berasrama Penuh (SBP) lain yang menyertai pertandingan initermasuk Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) serta Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=qJOUSeLkkk0&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *