Majlis Ilmu MADANI pada Isnin menampilkan ulama terkenal dari Turkiye, Syeikh Prof Dr Muhammad Fadhil al-Jilani al-Hasani yang menyampaikan syarahan mengenai tafsir Surah Yusuf oleh Imam al-Ghazali.
Tambahan lagi, ia juga diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi perkongsian di media sosialnya, PMX berkata, majlis yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta disertai lebih 100 hadirin meneliti kupasan yang disampaikan.
Beliau dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada Syeikh Muhammad Fadhil atas kesudian beliau menyampaikan syarahan.
Selain mengenang jasa ulama itu yang pernah memberikan bimbingan dan semangat kepadanya ketika melalui tempoh sukar.
“(Syeikh Muhammad Fadhil) beri didikan, asuhan dan semangat yang kuat (kepada saya ketika) keadaan yang sukar dulu.
“Sebab itu bila beliau sampai semalam, saya jumpa dan beliau bercerita tentang tafsir Surah Yusuf daripada Imam Ghazali. Jadi saya kira kita manfaatkan dalam masa singkat (majlis ini),” katanya dipetik Harapan Madani.
Syarahan selama sejam itu mengupas tafsir Surah Yusuf oleh Imam al-Ghazali, dengan penekanan terhadap pemahaman kandungan dan pengajaran daripada surah berkenaan.
Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, syarahan itu sekali gus membantu memperluas pemahaman masyarakat terhadap kandungan dan pengajaran Surah Yusuf.
“Ini merupakan antara tafsir ataupun kupasan yang sangat mendalam oleh Al-Imam Al-Ghazali yang disyarah dan ditahqiqkan oleh Syeikh Muhammad Fadhil,” ujarnya lagi.
Penganjuran majlis ilmu MADANI di kediaman rasmi Perdana Menteri itu merupakan antara usaha memupuk masyarakat yang mencintai ilmu serta memahami kepentingan adab dan akhlak.
Majlis berkenaan diilhamkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022 dan kini turut dianjurkan di seluruh negara.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=n2nSiWUs8is&ra=m
