MADANI TERKINI | PMX GESA KETUA JABATAN, AGENSI TURUN PADANG SELESAI MASALAH PROJEK PEMBANGUNAN

Setiap ketua jabatan dan agensi digesa turun padang bagi meneliti permasalahan, memahami kesukaran serta segera menyelesaikan sebarang isu yang menghambat pelaksanaan projek pembangunan negara, kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu antara dibangkitkan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 petang Selasa.

Di mana ia turut menyentuh isu projek pembangunan berstatus sakit, kelewatan daripada jadual serta kelembapan perbelanjaan peruntukan yang telah diluluskan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembangunan yang besar untuk dilaksanakan oleh kementerian dan agensi di seluruh negara.

Justeru, menjadi tanggungjawab ketua jabatan dan agensi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Maka, menjadi tanggungjawab setiap ketua jabatan dan agensi untuk turun sendiri ke lapangan, meneliti permasalahan yang dihadapi.

“Di samping memahami kesukaran yang menghambat pelaksanaan sebelum segera mencari jalan penyelesaian.

“Kita tidak boleh sekadar berpuas hati apabila peruntukan telah diumumkan dan diluluskan, sedangkan pelaksanaan di lapangan masih tertangguh,” katanya dipetik Bernama.

Dalam pada itu, PMX merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Ahli Parlimen Tambun itu turut berkata, komitmen berkenaan penting bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat dan negara.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=t5bEmyzl7n4&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *