MADANI TERKINI | MALAYSIA-TIMOR-LESTE TEROKA PELUANG KERJASAMA PELBAGAI BIDANG

Malaysia dan Timor-Leste meneroka peluang untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang strategik.

Ia termasuk ekonomi, perdagangan dan pelaburan bagi menjana pertumbuhan mampan di kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan menerusi pertemuan dengan Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta pada Selasa bersempena dengan lawatan khas lima hari pemimpin negara itu ke Malaysia.

Beliau berkata perbincangan itu turut menyentuh mengenai usaha memperkukuh pembangunan modal insan, pendidikan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kami turut bertukar-tukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, pelaburan strategik, pembangunan modal insan, pendidikan dan latihan teknikal,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

PMX berkata Malaysia dan Timor-Leste turut meneroka peluang baharu yang mampu menjana pertumbuhan mampan serta membuka ruang kemajuan lebih luas kepada generasi muda kedua-dua negara.

“Sebagai negara jiran dan anggota keluarga besar ASEAN, Malaysia menyambut baik usaha mempererat hubungan serantau.

“Berasaskan semangat kebersamaan, saling menghormati serta tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini,” ujarnya lagi dipetik Harapan Madani.

Ahli Parlimen Tambun itu turut berkata Malaysia dan Timor-Leste komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.

“Mudah-mudahan hubungan erat yang terjalin ini akan terus diperkukuh demi manfaat bersama rakyat Malaysia dan Timor-Leste, serta kemajuan ASEAN secara keseluruhannya,” jelasnya.

Dr. Ramos-Horta tiba di Malaysia pada 13 Jun lalu bagi lawatan khas selama lima hari ke negara ini.

Untuk rekod, pada 2024, perdagangan Malaysia-Timor-Leste berjumlah RM85.68 juta dengan eksport sebanyak RM84.06 juta dan import RM1.62 juta.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=-_WRZqA9XmU&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *