Kabinet mengecam keras kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang disifatkan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu pada Ahad lalu.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet dan tindakan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu sama sekali tidak boleh diterima.
Beliau turut berkata, Kabinet menyerahkan kepada pihak berkuasa, termasuk polis dan pihak berkuasa agama untuk menyiasat perkara itu.
“Jemaah Menteri dimaklumkan terdapat sejumlah laporan polis yang sudah dan sedang dibuat.
“Maka kita serah kepada pihak berkuasa, terutama mungkin majlis atau jabatan agama berkaitan untuk melakukan siasatan.
“Bagaimanapun, sehingga sekarang, respon dalam media sosial itu sangat panas mengenai isu ini dan kita faham,” katanya dipetik Media Perpaduan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi itu berkata demikian pada sidang media mingguan pada Rabu.
Dalam perkembangan yang sama, Nik Muhammad Zawawi memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’ dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu.
Beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak.
Kenyataan itu juga mengundang kritikan termasuk daripada pemimpin PAS sendiri, antaranya Pemuda PAS Selangor yang menggesa Nik Zawawi untuk bertaubat.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=8cWe5pRpRjg&ra=m
