MADANI TERKINI | BELANJAWAN 2027: PERKUKUH KERJASAMA KERAJAAN PERSEKUTUAN, NEGERI MENERUSI WAAD NASIONAL

Kerangka Waad Nasional menerusi pembentangan Belanjawan 2027 tidak akan berjaya sekiranya Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak mengukuhkan kerjasama erat bagi memastikan pembangunan negara yang lebih mampan, adil serta seimbang lantas menjelmakan aspek kesejahteraan yang lebih terangkum.

Menerusi hantaran di media sosial pada Selasa, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu menjadi tumpuan pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-150 dipengerusikannya hari ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan taklimat berkenaan Belanjawan MADANI 2027.

Antaranya termasuk keperluan Waad atau ‘covenant’ yang diusulkan dalam pembentangan belanjawan itu sebagai wahana memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

“Dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global, unjuran pertumbuhan ekonomi negara dan persoalan turun naik harga minyak dunia, belanjawan ini perlu terus membela rakyat, menangani kos sara hidup serta mengambil kira keutamaan setiap negeri, termasuk aspek keselamatan sempadan terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya dipetik Harapan Madani.

Perdana Menteri berkata, penyelarasan perancangan dan peruntukan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan, penting bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekonomi negeri dan pelaksanaan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat diberi keutamaan.

Selain aspek pembangunan ekonomi, PMX juga berkata, mesyuarat berkenaan turut menyentuh kepentingan kriptografi pascakuantum, dalam memperkukuh perlindungan data dan sistem digital negara bagi mendepani perkembangan teknologi serta ancaman keselamatan siber pada masa hadapan.

Menyentuh mengenai kebimbangan terhadap isu jerebu rentas sempadan, Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, Indonesia telah diminta supaya mengambil tindakan segera dan berkesan, bagi menangani aktiviti pembakaran terbuka.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah tegas itu penting, memandangkan masalah jerebu bukan sahaja menjejaskan kesihatan rakyat, khususnya murid dan pelajar, malah turut mengganggu kelancaran sesi persekolahan.

Isu berkenaan juga menjadi perhatian negara-negara serantau termasuk Singapura, Brunei dan Thailand dalam keadaan monsun barat daya belum berakhir sejak Julai hingga awal bulan ini.

Menurut laporan, jumlah kawasan titik panas di Sumatera dan Kalimantan meningkat beberapa hari lalu disebabkan faktor tiupan angin serta fenomena El Nino yang melanda ketika ini.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Ol0EnscDmXY&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *