PETALING JAYA – Isu warga asing menjalankan kegiatan perniagaan dan menjaja tanpa kebenaran, khususnya di sekitar pasar borong, kembali menjadi perhatian apabila aktiviti berkenaan didakwa berterusan walaupun operasi penguatkuasaan dijalankan.
Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan peniaga tempatan, malah boleh mengurangkan jumlah pelanggan yang berkunjung ke pasar yang dibangunkan kerajaan.
Menurutnya, terdapat penjaja asing didakwa menjalankan aktiviti perniagaan di tepi jalan dan kaki lima termasuk di kawasan sekitar Pasar Borong Selayang.
“Kerajaan membina pasar-pasar yang tersergam indah, akhirnya pelanggan tidak masuk pasar kerana peniaga asing berniaga di tepi jalan.
“Peniaga tempatan di negara ini tidak boleh menerima keadaan ini dan meminta pihak kerajaan mengatasinya,” katanya kepada Kosmo!.
Rosli berkata, pihaknya sudah lama menyuarakan isu lambakan penjaja asing, namun penyelesaian menyeluruh masih diperlukan bagi memastikan aktiviti perniagaan hanya dijalankan mengikut undang-undang dan syarat ditetapkan.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan apabila terdapat peniaga asing yang didakwa kembali berniaga di lokasi sama selepas operasi dijalankan.
“Selepas serbuan pihak berkuasa, mereka kembali berniaga tanpa rasa takut. Jadi kita mahu tindakan lebih tegas agar ia tidak berulang lagi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) memperketat kawalan di kawasan sekitar pasar bagi mengelakkan premis atau kawasan awam berhampiran dijadikan lokasi perniagaan tanpa kebenaran.
Katanya, kawasan sekitar pasar juga perlu dikawal supaya kewujudan pasar yang dibangunkan kerajaan tidak terjejas akibat aktiviti penjajaan tidak terkawal.
“Mereka perlu memastikan tiada peniaga berniaga sekurang-kurangnya satu kilometer dari pasar. Jika tidak, bangunan pasar akan jadi ‘gajah putih’, kerajaan tidak dapat kutip hasil sewa dan hasil lesen,” katanya.
Isu berkenaan turut menuntut kerjasama bersepadu antara PBT dan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan syarat lesen, imigresen serta peraturan perniagaan dipatuhi.
Pada masa sama, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten supaya peniaga yang melanggar peraturan tidak kembali menjalankan aktiviti sama selepas operasi berakhir.
