KUALA LUMPUR: Olahraga Malaysia (MA) memperkukuh pembangunan acara maraton negara menerusi kerjasama strategik bersama Dirigo Events dengan menjadikan Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) sebagai kejohanan saringan awal bagi pemilihan atlet ke Sukan SEA 2027.
Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Timbalan Presiden MA, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Pengarah Dirigo Events merangkap Pengarah Projek KLSCM, Rainer Biemans, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
Wan Hisham berkata, inisiatif berkenaan menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan laluan pembangunan atlet maraton yang lebih sistematik, sekali gus membolehkan pelari negara membuat persiapan lebih awal menjelang Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia.
Menurut beliau, negara mempunyai ramai pelari maraton berpotensi yang boleh diketengahkan, justeru kerjasama itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan prestasi atlet sedia ada, malah mencungkil lebih ramai bakat baharu untuk mewakili negara di pentas antarabangsa.
Sementara itu, Biemans menyifatkan pemilihan KLSCM sebagai kejohanan saringan rasmi merupakan satu pengiktirafan terhadap status perlumbaan berprestij itu yang kini diiktiraf sebagai satu-satunya acara larian jalan raya di Malaysia bertaraf World Athletics Elite Label.
Beliau berkata, kerjasama dengan MA akan membantu memperkukuh ekosistem sukan larian negara melalui penganjuran pertandingan bertaraf dunia serta membuka lebih banyak peluang kepada pelari tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
Menerusi persefahaman tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai program pembangunan atlet termasuk pendedahan di kejohanan serantau dan antarabangsa, sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN), peningkatan aspek kejurulatihan serta akses kepada kemudahan latihan yang lebih berkualiti.
Edisi KLSCM 2026 dijadual berlangsung pada 3 dan 4 Oktober depan dengan penyertaan dijangka melibatkan pelari dari lebih 70 negara, sekali gus menjadi platform penting dalam mengenal pasti atlet terbaik negara untuk menggalas cabaran di Sukan SEA 2027.
